comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] FBM KLCI catat kenaikan harian tertinggi sejak Mac 2020, ringgit capai 4.491 berbanding dolar AS

Oleh Afrina Romzi

PETALING JAYA: Bursa Malaysia mencatat kenaikan harian tertinggi sejak Mac 2020 manakala ringgit turut melonjak pada sesi dagangan hari ini.

Ia berikutan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, sekaligus menamatkan kemelut politik tanah air.

Pada jam 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.04 peratus atau 58.38 mata kepada kepada 1,501.88.

Manakala ringgit meningkat 1.8 peratus untuk ditutup pada 4.491 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.572 dicatatkan semalam.

Pasaran saham naik mendadak sejurus selepas pengunguman Istana Negara sekitar 1.35 petang lalu.

Petunjuk pasaran FBM KLCI naik 28.94 mata kepada 1,471.44 pada rehat tengah hari.

Pada jam 3 petang, petunjuk pasaran itu mencanak 46.63 mata kepada 1,490.13.

Dagangan rancak dalam pasaran menyaksikan jumlah dagangan naik 300 peratus kepada 6.87 bilion unit bernilai RM4.19 bilion berbanding semalam.

981 kaunter mencatat keuntungan berbanding 197 yang rugi.

Menurut Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, sentimen positif pelabur turut dirangsang faktor luaran.

“Selain faktor politik, pasaran saham tempatan turut dipacu ramalan Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk mengurangkan kenaikan kadar faedah akan datang selain rangsangan ekonomi baharu dari China yang telah meningkatkan sentimen pelabur,” katanya kepada Buletin TV3.

Loading...
Terkini