comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

FBM KLCI ditutup susut 1.02 peratus ke paras bawah 1,500

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Jumaat dengan prestasi sebaliknya berbanding peningkatan semalam apabila indeks petunjuk utama kembali susut ke paras psikologi 1,500 berikutan aktiviti pengambilan untung selain faktor luaran yang lemah.

Indeks utama itu mencatat kenaikan ketara 4.04 peratus semalam, sebahagiannya didorong oleh berakhirnya kemelut pembentukan kerajaan dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pada 5 petang, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 15.34 mata atau 1.02 peratus untuk ditutup pada 1,486.54, daripada 1,501.88 pada Khamis.

Sewaktu pasaran dibuka, indeks tersebut menokok 0.18 mata kepada 1,501.7 dan mencatat paras tinggi namun susut kemudiannya, termasuk mencecah paras terendah harian pada 1,481.38.

Sentimen pasaran suram dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 630 berbanding 346 manakala 361 kaunter lain tidak berubah, 926 tidak diniagakan dan 15 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan pasaran menguncup kepada 4.41 bilion unit bernilai RM2.75 bilion berbanding 6.87 bilion unit bernilai RM4.19 bilion, semalam. — BERNAMA

Loading...
Terkini