comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

FBM KLCI ditutup tidak berubah 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: FBM KLCI Bursa Malaysia mengurangkan penurunan sebelum ini dan mencatatkan peningkatan kecil semasa ditutup hari ini susulan kenaikan kaunter kewangan walaupun prestasi serantau bercampur-campur berikutan kebimbangan mengenai sektor hartanah di China.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.09 mata kepada 1,455.04 daripada 1,454.95 pada Jumaat lepas.

Selepas dibuka rendah 1.23 mata kepada 1,453.72, indeks barometer bergerak antara 1,451.37 dan 1,455.56 sepanjang sesi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 609 berbanding 295, dengan 445 kaunter tidak berubah dan 974 tidak diniagakan.

Jumlah dagangan naik kepada 2.80 bilion unit bernilai RM1.64 bilion daripada 2.55 bilion unit bernilai RM1.85 bilion pada Jumaat lepas.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka akan terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah pada masa depan berikutan penilaian petunjuk pasaran yang murah.

Oleh itu, beliau menjangka FBM KLCI akan diniagakan mendatar dengan kecenderungan meningkat dalam julat 1,445-1,465 pada minggu ini.

“Bagaimanapun, kami percaya pelabur mungkin mengelak daripada membuat langkah yang ketara berikutan kekurangan insentif belian yang menarik dalam persekitaran sentimen pasaran yang goyah disebabkan risiko dan turun naik pasaran global yang meningkat,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, indeks saham ditutup dengan keputusan bercampur-campur berikutan kebimbangan mengenai sektor hartanah di China dan menjelang Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Ogos dikeluarkan pada Rabu dan data jualan runcit negara itu pada Khamis.

China juga akan mengeluarkan data pengeluaran industri dan jualan runcit minggu ini.

“Walaupun ekuiti China menunjukkan positif dengan tanda-tanda tekanan deflasi yang berkurangan, Indeks Hang Seng di Hong Kong mencatatkan penurunan, sebahagian besarnya disebabkan kebimbangan pelabur mengenai krisis sektor hartanah di sana,” katanya.

Kaunter saham wajaran tinggi Maybank, CIMB Bank, Hong Leong Bank dan IHH, masing-masing naik dua sen kepada RM9.16, RM5.71, RM19.82 dan RM5.92 manakala Hong Leong Financial Group meningkat satu sen kepada RM18.00.

Daripada saham aktif, KNM berkurangan satu sen kepada 11 sen dan DGB menambah setengah sen kepada satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 3.09 mata kepada 10,723.83, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 3.37 mata kepada 10,884.13 dan Indeks FBM ACE susut 27.76 mata kepada 5,161.07.

Indeks FBMT100 naik 0.66 mata kepada 10,402.64 dan Indeks FBM 70 meningkat 1.03 mata kepada 14,136.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 15.94 mata kepada 16,442.62, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.06 mata kepada 172.68 dan Indeks Tenaga jatuh 4.10 mata kepada 851.37.

Indeks Perladangan merosot 6.21 mata kepada 6,857.94. — BERNAMA

Loading...
Terkini