
KUALA LUMPUR: Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini apabila sentimen domestik mendapat rangsangan daripada keyakinan terhadap keputusan pendapatan korporat yang positif dan aktiviti membeli saham berharga rendah di kaunter saham wajaran tinggi.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.54 mata kepada 1,451.72 daripada paras penutup 1,445.18 pada Jumaat minggu lepas.
Indeks itu dibuka rendah turun 0.28 mata kepada 1,444.90 pada paras terendah intra harinya dan mencecah paras tertinggi intra hari pada 1,453.99 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 489 berbanding 481, manakala 402 kaunter tidak berubah, 1,007 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.08 bilion unit bernilai RM1.77 bilion daripada 3.19 bilion unit bernilai RM1.61 bilion.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata aktiviti membeli saham berharga rendah dilihat dalam saham berkaitan telekomunikasi dan komoditi.
“Di peringkat serantau, indeks utama ditutup bercampur-campur apabila para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS) pada malam ini serta sidang kemuncak antara AS dan China.
“Sementara itu, China dijangka mengeluarkan petunjuk ekonomi bulanannya pada Rabu dan Jepun akan mengumumkan data pertumbuhan terbaharunya,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Thong masih kekal optimis dengan pasaran domestik menjelang pengumuman petunjuk ekonomi utama AS yang dijangka menentukan hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) pada masa depan.
Para pelabur berharap bacaan Indeks Harga Pengguna AS bagi bulan Oktober akan menyusut dengan pasaran menunggu isyarat selama mana lagi Fed akan mengekalkan kadarnya pada paras yang tinggi.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran akan turun naik dalam jajaran 1,445-1,465 bagi tempoh berbaki minggu ini,” katanya.