
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia rendah pada rehat tengah hari ini dengan peningkatan semula dalam saham wajaran tinggi terpilih membantu mengekang penurunan seterusnya.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.13 mata kepada 1,452.26 daripada 1,453.39 pada Selasa.
Indeks utama dibuka rendah 6.36 mata kepada 1,447.03 dan bergerak antara 1,444.81 dan 1,452.83 pada sesi pagi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 423 berbanding 322 dengan 404 kaunter tidak berubah dan 1,185 tidak diniagakan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.41 bilion unit bernilai RM900.30 juta.
Seorang penganalisis berkata sentimen kekal berhati-hati menjelang pengumuman angka inflasi Amerika Syarikat (AS).
Indeks Harga Pengguna AS pada Ogos dijangka tinggi, mewujudkan kebimbangan bahawa Rizab Persekutuan AS akan mengekalkan sentimen kadar faedah tinggi. – BERNAMA