comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

FDI ke Malaysia dari China, Hong Kong meningkat kepada RM15.95 bilion

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dari China dan Hong Kong (HK) meningkat kepada AS$3.4 bilion (RM15.95 bilion) pada 2023 daripada AS$3.3 bilion (RM15.5 bilion) pada 2022 dan meningkat tiga kali ganda daripada paras 2013, kata Penyelidik Pasaran Global dan Strategi OCBC.

Ahli Ekonomi Kanan ASEAN OCBC, Lavanya Venkateswaran, berkata sebagai satu daripada ekonomi ASEAN-6 bersama Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam, Malaysia mendapat manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan global dan serantau, serta penggunaan Strategi ‘China+1’.

Beliau berkata, aliran masuk bersih FDI ke negara ini tertinggi dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, menandakan sektor ini menjadi penerima utama aliran masuk pelaburan.

“Data daripada Institut Perusahaan Amerika dan Yayasan Warisan menunjukkan sebahagian besar pelaburan dari China melibatkan sektor tenaga, teknologi dan pengangkutan,” katanya dalam laporan terkini OCBC mengenai FDI Asean-China yang dikeluarkan hari ini.

Lavanya berkata, sebelum ini syarikat China menjanjikan pelaburan sekitar RM170 bilion ke Malaysia pada April 2023, dengan 19 memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani, diikuti dengan komitmen RM19.84 bilion pada September 2023.

“Ini menunjukkan bahawa terdapat komitmen FDI yang kukuh dari China ke Malaysia.

“Komitmen selanjutnya mungkin dilaksanakan pada Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024, yang berlangsung dari 17 hingga 19 Disember 2024,” katanya.

Lavanya turut menyatakan kelulusan pelaburan modal asing iaitu proksi kepada FDI yang diluluskan ke Malaysia semakin meningkat.

“Aliran masuk datang daripada pelbagai sektor sejak beberapa tahun ini, mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau dan global. Ini termasuk dari Kesatuan Eropah (EU), negara ASEAN lain, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan China,” katanya.

Di peringkat serantau, Lavanya berkata aliran masuk FDI ke dalam ekonomi ASEAN-6 meningkat kepada AS$236 bilion (RM1.1 trilion) pada 2023 berbanding purata tahunan AS$190 bilion (RM891 bilion) pada 2020-2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini