comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

FGV bayar balik RM72.2 juta kepada pekerja asing

FGV komited untung mendukung hak pekerja. – FOTO: Ihsan FGV

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) membayar balik yuran pengambilan RM72.2 juta kepada 19,673 pekerja migran yang dibuat dalam tiga peringkat pada Mac, Jun dan September 2023.

Jumlah itu adalah sebahagian besar daripada RM112 juta yang diperuntukkan bagi membayar balik yuran pengambilan yang dibuat oleh semua pekerja migran sedia ada termasuk bekas pekerja migran syarikat perladangan itu.

Dalam satu kenyataan, FGV berkata, peruntukan itu selaras keutamaannya dalam pelaksanaan pelan pemulihan bagi mendukung hak pekerja serta membuat segala penambahbaikan dalam amalan pengurusan pekerja.

Katanya, ia juga adalah perkembangan positif dalam usaha syarikat untuk menangani penggantungan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

“Antara komponen utama dalam pelan pemulihan FGV adalah program pembayaran balik yuran pengambilan pekerja yang dikenakan oleh pihak ketiga ke atas pekerja migran FGV.

“Sejajar dengan komitmen syarikat dalam mengamalkan pengambilan pekerja beretika dan bertanggungjawab serta tidak mengenakan yuran pengambilan pekerja, FGV telah memperuntukkan sejumlah RM112 juta bagi membayar balik yuran pengambilan,” katanya.

Dalam proses pengesahan pembayaran balik kepada pekerja migran, FGV berkata, ia melantik syarikat perunding antarabangsa, LRQA (sebelum ini dikenali sebagai ELEVATE), bagi kerja-kerja pengesahan usaha pembayaran balik yang telah dibuat.

LRQA adalah sebuah firma perundingan bebas dalam bidang kelestarian dan rantaian bekalan yang mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja pematuhan sosial dan menangani pertuduhan isu buruh paksa melalui pendekatan mengutamakan pekerja.

“Prosedur pengesahan oleh LRQA yang berjalan antara 30 Oktober dan 24 November 2023 telah menunjukkan bahawa 100 peratus pekerja yang ditemubual telah menerima pembayaran balik dibuat oleh FGV.

“Maklum balas positif dari kerja-kerja pengesahan oleh LRQA jelas mencerminkan komitmen FGV dalam menjaga kebajikan dan hak pekerja,” katanya.

Loading...
Terkini