comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Firma Jerman mahu tingkatkan pelaburan di Malaysia

Foto NSTP/Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Syarikat Jerman dijangka terus meningkatkan kehadirannya di Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dagang antara kedua-dua negara meskipun prospek ekonomi global diramalkan suram tahun depan.

Menurut kaji selidik terbaharu AHK World Business Outlook Fall 2022, dalam menghadapi cabaran global termasuk isu bekalan, COVID-19 dan perang Russia-Ukraine, sejumlah 50 peratus firma Jerman di Malaysia yang ditinjau akan meningkatkan perbelanjaan ke atas pelaburan tempatan tahun depan dalam usaha membangunkan perniagaannya.

Katanya, ia selaras dengan tiga kelebihan Malaysia yang disenaraikan syarikat Jerman iaitu kos buruh yang rendah (65.2 peratus), rangkaian pembekal (60.9 peratus) dan ketersediaan pekerja mahir (56.5 peratus).

“Sejumlah 54.2 peratus juga menjangkakan untuk meningkatkan pekerja dalam syarikat mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang, sekali gus memberi petanda baik bagi pencari kerja dalam menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi,” kata Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) dalam satu kenyataan.

AHK World Business Outlook adalah berdasarkan tinjauan syarikat yang juga ahli dewan perdagangan Jerman luar negara, pejabat delegasi dan perwakilan membabitkan 40,000 syarikat ahli di 92 negara di seluruh dunia.

Ia adalah penyelidikan dwi-tahunan yang dilaksanakan Dewan Perdagangan dan Industri Jerman (DIHK).

Dewan perniagaan itu berkata, sejumlah 50 peratus syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia memilih untuk kekal di negara ini.

“87.5 peratus daripada syarikat ini berkata mereka lebih suka kekal di Malaysia kerana pembangunan pasaran manakala 50 peratus lagi berkata kos adalah sebab utama,” katanya.

Kaji selidik itu turut mendedahkan, gangguan rantaian bekalan global akan terus menjadi halangan bagi syarikat Jerman dan untuk mengurangkan kesannya, 65.2 peratus telah memperkenalkan rancangan untuk mencari pembekal tambahan.

“Sejumlah 81 peratus berkata Asia Pasifik (tidak termasuk China) adalah kawasan pilihan mereka untuk mendapatkan pembekal baharu manakala 61.9 peratus lebih gembira melihatnya di dalam Malaysia secara khusus.

“Syarikat berkata, mereka lebih cenderung mendapatkan sumber dari dalam rantau ini dan dalam negara (Malaysia) disebabkan kos (76.2 peratus), selain membolehkan mereka mempelbagaikan atau meminimumkan risiko sekiranya berlaku kegagalan (61.9 peratus).

“Trend dalam penyumberan pelbagai kemungkinan besar boleh dikaitkan dengan kejutan bekalan dan permintaan yang disebabkan oleh wabak dan pencerobohan Russia ke atas Ukraine sebagai satu cara untuk membangunkan strategi rantaian bekalan yang berdaya tahan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini