comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Firma maritim raih manfaat kenaikan kadar tambang

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Syarikat maritim tempatan akan mendapat manfaat secara tidak langsung daripada kenaikan berperingkat kadar tambang perkapalan global susulan insiden berlaku di Laut Merah, dengan kesannya akan bergantung kepada situasi perang Israel-Hamas.

Penganalisis TA Securities, Tan Kam Meng, berkata manfaat itu akan turut melimpah kepada operator pergudangan dan logistik tempatan seandainya perang berkenaan berlanjutan kerana pengeluar di Malaysia dijangka meningkatkan simpanan bahan mentah untuk mengelakkan gangguan pengeluaran.

“Implikasi positif ini telahpun dicerminkan oleh prestasi harga saham kaunter logistik dan pelabuhan sejak kebelakangan ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kam Meng berkata, kenaikan kos perkapalan yang berpunca dariada kos operasi lebih tinggi (insurans dan penggunaan bahan api) juga dilihat memberikan sokongan kepada prestasi harga saham firma perkapalan utama termasuk Maersk, Hapag-Lloyd, Cosco dan Evergreen.

Beliau berkata, adalah jelas bahawa harga saham syarikat terbabit mencapai titik perubahan pada pertengahan Disember lalu, sebelum melonjak ke paras kemuncak dengan purata kenaikan 36 peratus pada awal Januari dan berakhir dengan purata kenaikan 28 peratus pada Jumaat minggu lalu.

Katanya, ketegangan yang berlaku di Laut Merah telah membantu saham syarikat perkapalan mencatatkan prestasi lebih baik berbanding sebelum ini.

“Daripada semakan saluran kami, salah satu daripada syarikat penghantar barangan tempatan menjelaskan bahawa kebanyakan syarikat pengangkut melecongkan kapal melalui Tanjung Harapan dan ini menyebabkan penghantaran terlewat.

“Impaknya akan kelihatan mulai Januari 2024 dan selanjutnya dengan pelayaran kosong menjejaskan bukan hanya Laut Merah, malah laluan perdagangan lain seperti Mediterranean,” katanya.

Kam Meng berkata, akan berlaku kekurangan ruang disebabkan oleh pelayaran kosong dan kemungkinan berlaku kekurangan peralatan.

Loading...
Terkini