comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Firma penyelidikan kekal optimis pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan mengekalkan ramalan masing-masing mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 4.2-4.8 peratus tahun ini.

OCBC mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.2 peratus tahun ini, menokok daripada 3.6 peratus pada 2023.

Ahli Ekonomi kanan Asean OCBC, Lavanya Venkateswaran berkata, ramalan ini adalah berdasarkan pertumbuhan eksport elektronik yang lebih baik, penekanan yang berterusan terhadap pembangunan infrastruktur awam dan peningkatan pelaburan sektor swasta yang dirangsang oleh agenda pembaharuan berterusan kerajaan.

“Suku pertama 2024 menunjukkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.2 peratus, dan data aktiviti yang diterima untuk suku kedua 2024, termasuk pertumbuhan eksport dan import serta pengeluaran perindustrian, adalah sejajar dengan unjuran pertumbuhan KDNK setahun penuh kami,” katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai prestasi perdagangan pada Mei 2024, Lavanya menyifatkan data dagangan Mei adalah kukuh.

Beliau berkata pertumbuhan eksport mengekalkan momentumnya dan menjadi lebih pelbagai manakala kekukuhan yang berterusan dalam pertumbuhan import menyerlahkan daya tahan bagi permintaan dalam negeri.

“Ternyata, lebihan dagangan yang besar telah memperkukuh lebihan akaun semasa, membantu meredakan beberapa kelemahan luaran,” katanya.

Malah, beliau berkata pemacu pertumbuhan eksport menjadi lebih pelbagai.

Peningkatan eksport elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak 7.6 peratus tahun ke tahun daripada 0.6 peratus pada April memperlihatkan paras terendah kitaran menurun eksport elektronik global yang mula mencerminkan eksport E&E Malaysia.

Eksport barangan perkilangan lain seperti mesin dan peralatan, optik dan peralatan saintifik turut memberangsangkan pada Mei berbanding April.

Beliau berkata Malaysia telah menyaksikan peningkatan ketara permintaan bagi eksport E&E dan minyak sawit, didorong oleh beberapa faktor utama di pasaran Asean, Amerika Syarikat (AS) dan China.

Faktor pertama adalah pemulihan kitaran eksport elektronik global telah meningkatkan eksport E&E Malaysia ke AS dan negara-negara Asean kerana peningkatan ini menunjukkan pertambahan semula permintaan global untuk barangan elektronik, yang telah memberi kesan positif kepada sektor eksport Malaysia.

Kedua, aktiviti ekonomi yang teguh di kebanyakan negara Asean dan AS telah memainkan peranan penting.

“Permintaan penggunaan dan pelaburan yang beterusan di rantau ini telah menyumbang kepada peningkatan keperluan bagi produk berkaitan, sekali gus meningkatkan pertumbuhan eksport Malaysia. Prestasi kukuh ekonomi ini telah menawarkan pasaran yang stabil dan berkembang untuk eksport Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini