comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Fitch Ratings kekalkan penarafan kredit Malaysia BBB+

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Fitch Ratings mengesahkan penarafan kemungkiran penerbit mata wang asing jangka panjang Malaysia pada ‘BBB+’ dengan tinjauan yang stabil.

Agensi penarafan antarabangsa itu berkata, penarafan Malaysia mengimbangi ekonomi yang pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh berbanding hutang awam yang tinggi, asas hasil yang rendah berbanding dengan perbelanjaan mengurus dan ketidaktentuan politik yang menghalang penggubalan dasar jangka masa panjang.

Ia menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyederhana kepada 4.0 peratus pada 2023 (median negara dengan penarafan BBB: 2.4 peratus) dan 4.8 peratus pada 2024 berbanding pertumbuhan luar biasa 8.7 peratus yang dicatatkan negara ini pada 2022.

“Pada 2023, kami menjangkakan perkhidmatan akan terus meraih manfaat daripada permintaan domestik yang berdaya tahan, inflasi yang terkawal dan pemulihan dalam sektor berkaitan pelancongan daripada pembukaan semula China.

“Pembuatan dan eksport mungkin akan berdepan ketidaktentuan permintaan global yang lebih lemah untuk elektronik dan komoditi.

Trend pertumbuhan jangka sederhana sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus kekal teguh,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai inflasi, Fitch Ratings menjangkakan kawalan harga dan subsidi mengekalkan inflasi rendah pada 2.8 peratus pada 2023.

Ia berkata, unjuran inflasi tertakluk kepada risiko menaik daripada kemungkinan perubahan dasar mengenai kawalan harga dan subsidi serta momentum baharu dalam harga komoditi global. –BERITA HARIAN

Loading...
Terkini