comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

FMM harap insentif R&D lebih besar dalam Bajet 2023

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk meneruskan sokongan terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inisiatif inovasi menerusi peruntukan lebih besar ke atas bantuan kewangan, insentif dan inisiatif dalam Bajet 2023 yang akan datang.

Sokongan itu antaranya membabitkan liberalisasi insentif potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan R&D dengan membenarkan potongan automatik tanpa ambang dan had tempoh, yang diperluas ke semua syarikat termasuk syarikat peringkat pertengahan dan lebih besar untuk merangsang inovasi dan kreativiti.

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata inovasi dan R&D memainkan peranan kritikal kepada industri dan negara berikutan peranannya sebagai pencetus perubahan dalam mencapai pertumbuhan ekonomi tinggi.

“Pada masa sama, selaras dengan ikrar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan kerajaan, agensi-agensi berkaitan mesti memberikan kelulusan lebih cepat bagi permohonan berkaitan insentif R&D berikutan kepantasan adalah penting untuk menjayakan pembangunan produk/perkhidmatan baharu dan pengkomersialan,” katanya.

Soh berkata, formula untuk meningkatkan tahap perkhidmatan adalah menambah baik tahap produktiviti dan ia boleh diraih menerusi tahap inovasi lebih tinggi seperti pendigitalan yang akan memendekkan masa menunggu, mengurangkan kos serta menamatkan kuasa budi bicara pegawai untuk meluluskan permohonan.

FMM yang mewakili lebih 11,600 syarikat anggota daripada rantaian bekalan pembuatan, terlibat secara aktif dengan kerajaan serta agensi utama di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan. – BERNAMA

Loading...
Terkini