comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

FRIM sasar bantu usahawan komersialkan produk bernilai RM30 juta menjelang 2025

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) melalui Pusat Teknologi Herba (HTC) meletakkan sasaran untuk membantu usahawan herba mengkomersialkan nilai produk sebanyak RM30 juta menjelang 2025, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 30 peratus.

FRIM dalam satu kenyataan pada Selasa mengumumkan bahawa HTC setakat ini telah berjaya mengkomersilkan 192,446 unit produk dengan jumlah nilai sebanyak RM16.4 juta.

“Sejak penubuhannya, HTC telah memberikan manfaat kepada lebih daripada 500 pelanggan termasuk syarikat dan individu. Sebanyak 20 syarikat telah melantik HTC sebagai pengilang kontrak mereka untuk menghasilkan 35 produk herba tradisional yang berdaftar.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), HTC telah menghasilkan enam produk separa siap berbentuk ekstrak tulen daripada herba-herba terpilih iaitu tongkat ali, kacip fatimah, asam gelugur, misai kucing, roselle dan gelenggang,” katanya.

Bagaimanapun, FRIM berkata produk herba perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang ketat termasuk pendaftaran dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan ujian keselamatan, ia memberi cabaran kepada usahawan herba kerana melibatkan kos yang tinggi.

“Justeru itu, HTC berazam untuk menyokong pengeluaran produk herba berkualiti tinggi serta memberi sokongan kepada usahawan herba dalam menghasilkan produk berkualiti dan kompetitif.

“HTC telah menerima pelbagai pensijilan termasuk Amalan Pengilangan Baik (GMP), HACCP, dan Halal, menjadikannya pilihan utama usahawan herba. Kami menyediakan perkhidmatan teknikal, fasiliti lengkap, khidmat nasihat dan penelitian pembangunan pembangunan dengan lokasi yang mudah diakses dan caj perkhidmatan yang berpatutan,” katanya.

Usaha tersebut selaras dengan visi kerajaan untuk memperkukuhkan industri herba sebagai sumber pertumbuhan ekonomi negara, kata FRIM. – BERNAMA

Loading...
Terkini