comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Funding Societies sasar agih pembiayaan RM100 juta akhir tahun ini 

Funding Societies Malaysia Digital

KUALA LUMPUR: Platform kewangan digital untuk perusahaan kecil dan sederhana, Funding Societies Malaysia Digital menyasarkan pengagihan pembiayaan sekurang-kurangnya RM100 juta menjelang akhir tahun ini menerusi produk pembiayaan Islam termasuk Pembiayaan Perniagaan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pembiayaan Invois-i.

Ketua Negara Funding Societies Malaysia Chai Kien Poon berkata rangkaian penyelesaian pembiayaan patuh Syariah itu bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia yang layak kemudahan kredit dan kurang mendapat perhatian untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Penyelesaian pembiayaan Islam ini terbuka kepada PMKS yang layak dengan aktiviti utamanya patuh Syariah. Rangkaian produk Pembiayaan Perdagangan Islam-i kami bukan hanya untuk pemilik perniagaan Muslim, tetapi sesiapa sahaja selagi amalan perniagaan mereka patuh Syariah.

“Pasukan kami akan menjalankan saringan Syariah bagi memastikan hasil diperoleh digunakan untuk keperluan modal kerja am patuh Syariah dan tujuan perniagaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran penyelesaian pembiayaan Islam berkenaan di sini, hari ini.

Beliau juga menyifatkan pelancaran pembiayaan itu sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk terus menerajui kewangan Islam serta memberi tumpuan terhadap ekonomi digital dan teknologi kewangan (fintech) Islam.

Jelasnya, Pembiayaan Mikro-i dan Pembiayaan Berkala Perniagaan-i khusus untuk memberi kemudahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan rangsangan jangka pendek ke atas modal kerja mereka sehingga 18 bulan tanpa cagaran.

Di bawah Pembiayaan Mikro-i, PMKS boleh memohon sehingga RM200,000 dan dana itu dapat diagihkan dalam tempoh lima hari dari tarikh permohonan yang berjaya.

Menurut Chai, PKS boleh menerima tunai segera menerusi pesanan pembelian Akaun Pendahuluan Tunai terhadap invois dengan PKS menerima pembiayaan sehingga RM1 juta.

Mereka juga boleh membiayai sehingga 100 peratus daripada nilai invois dalam tempoh 120 hari dan produk berkenaan adakah khusus untuk pembeli. – BERNAMA

Loading...
Terkini