comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Gagasan Nadi Cergas, Kwasa Land bangun rumah mampu milik

Kwasa Land Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Gagasan Nadi Cergas Bhd memperoleh kontrak daripada Kwasa Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dalam bersama-sama membangunkan rumah mampu milik di perbandaran Kwasa Damansara, Selangor dengan kos sebanyak RM750 juta.

Cadangan pembangunan itu adalah untuk membina 4,183 unit kediaman mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.0 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas Bhd, Wan Azman Wan Kamal berkata Gagasan Nadi Cergas menerima surat anugerah (LOA) daripada Kwasa Land untuk membangunkan projek rumah mampu milik di atas sebidang tanah seluas 34.9 ekar.

“LOA itu merangkumi Gagasan Nadi Cergas membayar Kwasa Land RM35.6 juta untuk tanah tersebut dan Kwasa Land akan menjadi pemaju induk projek ini.

“LOA itu juga akan menjadi usaha kedua Gagasan Nadi Cergas dengan Kwasa Land, selepas memulakan pembinaan 1,669 unit rumah mampu milik di Plot R4-1 Kwasa Damansara tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmin berkata, projek pembangunan hartanah yang sedang berjalan bernilai RM3.6 bilion dalam GDV yang akan memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2032.

Katanya, pihaknya berterima kasih kepada Kwasa Land dalam kerjasama yang diberikan untuk pembangunan projek.

“Kami berminat untuk menyokong usaha dinamik Kwasa Land untuk menjadikan Kwasa Damansara sebuah perbandaran mampu milik, moden dan mapan.

“Komitmen berterusan kami untuk membina rumah mampu milik berkualiti tinggi akan membantu lebih ramai rakyat Malaysia B40 dan M40 merealisasikan impian mereka untuk menjadi pemilik rumah dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Sementara itu, Gagasan Nadi Cergas dijadualkan untuk menghantar sehingga 14,000 unit rumah mampu milik di Greater Kuala Lumpur dalam tempoh lapan tahun akan datang.

Projek rumah mampu milik kumpulan yang lain termasuklah projek serupa Idaman Bukit Jelutong yang sedang berjalan.

“Kadar pengambilan tinggi Idaman Bukit Jelutong sebanyak 91 peratus sehingga kini menggariskan kecekapan kumpulan sebagai pembina berpengalaman dalam pasaran perumahan Malaysia.

“Projek utama kumpulan yang telah siap termasuk masjid yang baru dibuka di menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur dan Pusat Kardiologi di Hospital Serdang,” katanya.

Loading...
Terkini