comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Google terbitkan kadar tukaran ringgit tidak tepat sekali lagi – BNM 

 

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menegaskan, data kadar pertukaran ringgit yang tersebar menerusi media sosial berdasarkan kadar pertukaran USD/MYR diterbitkan Google semalam sebagai tidak tepat.

Malah, dalam satu kenyataan di sini, hari ini, bank pusat itu memaklumkan ia juga tidak mencerminkan nilai dagangan sebenar.

“Semalam kadar pertukaran USD/MYR berada pada 4.7015 pada jam 9 pagi dan 4.7045 pada jam 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM.

“Sepanjang dua minggu yang lalu (1 – 15 Mac 2024), nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 0.76 peratus berbanding dengan dolar AS,” menurut kenyataan berkenaan.

BNM berkata insiden itu adalah kali kedua tahun ini dilakukan Google dengan menerbitkan data kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat.

Katanya, pihaknya sudah menghantar surat peringatan tegas kepada Google berikutan insiden salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari lalu itu.

“Susulan insiden salah lapor yang kedua ini, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan mengenai punca pelaporan yang tidak tepat ini dan langkah pembetulan yang dibuat, memandangkan isu berulang ini sudah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Menerusi kenyataan sama, BNM turut menasihatkan orang ramai supaya merujuk data rasmi termasuk data daripada pihaknya.

“Orang ramai juga perlu mengelak daripada menggunakan, menyebarkan atau membuat spekulasi berhubung dengan sumber yang tidak disahkan sebagai rujukan bagi ringgit,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini