comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Guna tenaga informal cecah 3.5 juta

Pekerja dalam sektor informal terdiri daripada mereka yang bekerja sebagai pembina rumah, pengasuh, penjaja makanan dan pembuat roti.

PUTRAJAYA: Pekerja informal Malaysia mencapai jumlah 3.5 juta orang tahun lepas atau 23.2 peratus daripada jumlah guna tenaga negara, lebih tinggi dari tahun sebelumnya, disumbangkan sebahagiannya oleh impak pandemik COVID-19,  menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata tempoh berkenaan menyaksikan berlakunya mobiliti buruh dalam sektor ekonomi dengan mereka yang terjejas membuat pekerjaan informal bagi menampung kelangsungan hidup.

Dalam kenyataan mengenai Laporan Survei Sektor Informal dan Pekerjaan Informal Malaysia 2021 hari ini, beliau berkata dua juta daripada keseluruhan pekerja informal tahun lepas bekerja dalam sektor informal dan 1.5 juta lagi dalam sektor formal.

Menurut Mohd Uzir lebih 70 peratus guna tenaga dalam sektor informal adalah dalam kategori bekerja sendiri, meningkat dua peratus berbanding 2019, manakala kategori pekerja sebanyak 19.2 peratus, meningkat lapan peratus.

“Pekerja dalam sektor ini terdiri daripada mereka yang bekerja sebagai pembina rumah, pengasuh, penjaja makanan, pembuat roti, pemotong rumput, buruh, pekerja pembinaan (bangunan), jurujual gerai tepi jalan, tukang jahit, jurujual pasar dan penghantar makanan, minuman serta barangan dan pemandu.

“Dalam masa sama, jurujual Internet dan pengatur cara analisis merupakan antara kategori pekerjaan yang mencatatkan peningkatan tertinggi dalam sektor informal pada 2021,” katanya.

Antara kriteria utama sektor informal ialah saiz pekerja kurang daripada 10 orang dan tidak berdaftar di bawah perundangan ditetapkan, manakala pekerja dalam pekerjaan informal merujuk mana-mana pekerja yang tidak mempunyai akses kepada sekurang-kurangnya satu skim keselamatan sosial atau faedah pekerjaan.

Beliau berkata hampir dua pertiga daripada guna tenaga sektor informal tertumpu kepada sektor perkhidmatan iaitu 67.5 peratus, diikuti pembuatan (19.1 peratus) dan pembinaan (13.4 peratus).

Menurutnya aktiviti perdagangan borong dan runcit seperti pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal mendominasi sektor perkhidmatan dengan sumbangan 24 peratus, diikuti aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman yang menyumbang 23.1 peratus.

Katanya majoriti guna tenaga dalam sektor informal beroperasi di tempat kediaman (37.1 peratus), diikuti pasar atau gerai jalanan (29.2 peratus), tiada tempat tetap atau khusus (20.7 peratus), dan kilang, pejabat atau bengkel (13.0 peratus).

Guna tenaga dalam sektor informal di bandar mempunyai komposisi terbesar iaitu 2.35 juta orang pada 2021, manakala guna tenaga sektor informal di luar bandar adalah 1.15 juta orang.

Kajian itu turut menunjukkan 46.6 peratus atau 607,000 orang daripada guna tenaga sektor informal mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia dan ke bawah, iaitu meningkat 4.5 peratus berbanding 555,500 orang pada 2019.

Katanya lelaki yang bekerja dalam sektor informal termasuk pertanian kekal mendominasi dengan 2.13 juta orang diikuti 1.37 juta wanita. – BERNAMA

Loading...
Terkini