comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

H3C sasar perluas kedudukan dalam pasaran global, malaysia dan indonesia jadi pasaran utama 

New H3C Technologies Co Ltd (H3C)

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — New H3C Technologies Co Ltd (H3C) dari China menyasarkan untuk memperluas kedudukannya dalam pasaran global dan telah mengenal pasti Malaysia dan Indonesia sebagai pasaran utama di ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Tony Yu berkata H3C telah berada dalam pasaran China selama hampir 20 tahun, menjadikannya sebagai satu daripada dua penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkemuka di negara itu.

“Kami antara beberapa syarikat utama yang mempunyai keupayaan infrastruktur digital yang komprehensif dalam pengkomputeran, penyimpanan, rangkaian, 5G, keselamatan dan terminal, menyediakan penyelesaian digital sehenti yang merangkumi pengkomputeran awan, data raya, kecerdasan buatan dan internet industri.

“H3C mempunyai pengalaman selama bertahun-tahun dalam memperkasakan pelbagai industri untuk melalui transformasi digital.

“Produk dan penyelesaian H3C digunakan secara meluas di lebih seratus negara dan wilayah,” katanya dalam temu bual pada H3C NAVIGATE 2023 International Business Summit di Bali baru-baru ini.

Merujuk laporan IDC bahawa transformasi digital telah menjadi keutamaan kepada pemimpin perniagaan, dengan perbelanjaan melebihi US$3.4 trilion menjelang 2026, Yu menjangka dalam tempoh tiga tahun akan datang, syarikat yang berbelanja untuk ICT boleh mencapai lapan kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mereka apabila mereka secara agresif menggunakan teknologi untuk meningkatkan kecekapan.

Bagaimanapun, katanya transformasi digital bukan satu tugas yang mudah berikutan ia memerlukan pertimbangan beberapa faktor.

“Ini termasuklah kesesuaian dengan proses perniagaan, produktiviti dan budaya organisasi serta keserasian dengan seni bina dan platform sistem,” katanya.

Pada 2022, H3C melaksanakan strategi perniagaan antarabangsanya, memberi tumpuan kepada membina ekosistem yang baik dan menawarkan penyelesaian berasaskan senario serta meningkatkan strategi pada tahun ini berdasarkan pendekatan “Think Globally, Act Locally”.

Strategi itu untuk menyetempatkan keupayaan inovasi teknologi, pemerkasaan tenaga kerja dan ekosistem, memastikan pembangunan yang pesat dan mampan dengan menyepadukan teknologi digital dalam industri dan ekonomi tempatan, katanya.

Presiden Bersama dan Presiden Perniagaan Antarabangsa syarikat Gary Huang berkongsi bahawa permintaan terhadap pelaburan dalam pendigitalan di seluruh dunia didorong oleh pandemik COVID-19.

H3C melancarkan strategi perniagaan antarabangsanya pada 2019 dan telah menubuhkan 12 pejabat perwakilan di luar China dengan keupayaan menyeluruh daripada pembangunan pasaran hingga penyampaian projek dan sokongan perkhidmatan.

Ia mempunyai lebih 1,200 rakan kongsi di luar negara yang diperakui, 36 pusat alat ganti di luar negara dan menyampaikan perkhidmatan di 174 negara dan wilayah.

“Pandemik juga telah membawa cabaran baharu mengenai cara menjadikan transformasi digital dapat disesuaikan, serasi dan mampan,” katanya.

Huang menyedari bahawa cabaran utama bagi H3C untuk menembusi pasaran antarabangsa ialah penjenamaan H3C.

“Kami amat yakin dengan produk dan perkhidmatan kami berikutan kami telah membuktikan sebagai dua syarikat terkemuka di China walaupun menghadapi banyak persaingan.

“Cabaran utama ialah penjenamaan berikutan tidak ramai orang tahu walaupun produk dan penyelesaian (kami) bagus. Oleh itu, terdapat keperluan untuk mewujudkan saluran luaran untuk mempunyai lebih ramai rakan kongsi untuk bekerjasama dan membina kes rujukan supaya lebih ramai pengguna mengetahui mengenai keupayaan kami,” katanya.

Bagi berbuat demikian, katanya H3C merancang untuk meningkatkan usahanya bagi menggalakkan penyetempatan tenaga kerja, teknologi dan ekosistem dalam usaha untuk mewujudkan lebih banyak penyelesaian berasaskan senario di pelbagai negara.

Mengenai pasaran ASEAN, beliau berpandangan sektor ICT di rantau ini mempunyai potensi yang besar untuk pertumbuhan dan pembangunan.

“Dengan pelaburan dan dasar yang sesuai, ASEAN boleh membina industri ICT yang berdaya tahan dan kompetitif untuk memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Rantau ini perlu memberi tumpuan kepada beberapa bidang untuk kekal kompetitif, termasuk melabur dan menaik taraf infrastruktur digital untuk menyediakan perniagaan dan pengguna dengan rangkaian yang dipercayai dan berkelajuan tinggi, katanya sambil menambah mereka perlu menyokong pembangunan teknologi baharu dan menggalakkan keusahawanan dengan menyediakan pembiayaan dan insentif lain.

Beliau berkata negara-negara di rantau ini juga perlu meningkatkan kemahiran tenaga kerja mereka dan menggalakkan celik digital dalam semua kumpulan umur, melaksanakan dasar perlindungan data yang kukuh dan langkah-langkah keselamatan siber.

Mengenai pasaran Malaysia, Pengurus Besar H3C Malaysia, Rockies Ma, berkata H3C beroperasi melalui kerjasama dengan syarikat tempatan dan mempunyai kedudukan yang ketara dalam pelbagai industri.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 200 rakan ekosistem H3C di negara ini daripada sektor awam dan swasta.

“Malaysia adalah ekonomi yang semakin berkembang dengan pelaburan yang meningkat dalam inisiatif transformasi digital yang menyediakan pasaran yang menggalakkan untuk penyelesaian dan perkhidmatan H3C.

“Selain itu, Malaysia juga terletak di lokasi yang strategik, menjadikannya hab menarik untuk pengembangan perniagaan serantau,” katanya.

Beliau berkata sektor ICT Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk berkembang berdasarkan infrastruktur digital negara, dasar kerajaan yang menyokong dan tenaga kerja mahir.

Katanya negara ini juga telah mencapai kemajuan yang besar dalam mengguna pakai teknologi digital sejak beberapa tahun ini, mewujudkan peluang untuk industri ICT berkembang maju.

Beliau berkata ekonomi digital Malaysia dijangka menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya pada tahun-tahun akan datang.

Bagi kekal kompetitif dalam sektor ICT, Ma berkata Malaysia perlu memberi tumpuan kepada beberapa bidang, termasuk membangunkan dan meningkatkan infrastruktur digital, dan pelaburan berterusan daripada kerajaan diperlukan terutamanya untuk menyediakan rangkaian yang dipercayai dan berkelajuan tinggi.

“Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dalam sektor ICT dan negara telah mengambil langkah penting ke arah menjadi negara yang memberi keutamaan kepada digital.

“Dengan pelaburan dan dasar yang sesuai, Malaysia boleh membina industri ICT yang berdaya tahan dan kompetitif untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan dan rakyat,” katanya.

Loading...
Terkini