comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Hanya 12 peratus rakyat Malaysia anggap diri kaya

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tinjauan persepsi kekayaan oleh Hong Leong Bank Bhd (HLB) terhadap 1,000 responden berumur antara 18 hingga 77 tahun mendedahkan bahawa hanya 12 peratus rakyat Malaysia menganggap diri mereka kaya.

Kajian itu turut menunjukkan bahawa majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai pelan kewangan atau pelaburan disebabkan oleh andaian bahawa mereka tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk memulakan pelan pengurusan kekayaan itu.

Daripada 327 responden yang membuat pelaburan, 57 peratus melaporkan bahawa mereka melabur dalam saham, 56 peratus memperuntukkan dana kepada skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) manakala 54 peratus pula terbabit dalam pelaburan emas.

Selain itu, 44 peratus responden memilih deposit tetap sebagai pendekatan pelaburan utama mereka

Tinjauan juga menggariskan trend ketara pelaburan kendiri dalam kalangan rakyat Malaysia dengan 83 peratus daripada mereka yang melabur memilih untuk menguruskan pelaburan secara autonomi tanpa mendapatkan input atau bimbingan daripada penasihat kewangan profesional.

Ini terutamanya apabila merangka pelan kewangan, hampir separuh daripada rakyat Malaysia (49 peratus) mendapatkan nasihat kewangan daripada media sosial, manakala peratusan yang sama bergantung kepada input daripada ahli keluarga.

Pengarah Urusan Pengurusan Kekayaan Serantau HLB, Hor Kwok Wai, berkata peratusan tinggi pelabur ke arah kendiri menunjukkan orang ramai semakin ingin terbabit secara langsung dalam perancangan kewangan dan strategi pelaburan.

Justeru, beliau berkata, terdapat keperluan untuk institusi kewangan seperti HLB menyediakan sumber dan sokongan yang teguh bagi memperkasa dan mendidik pelabur dalam membuat pilihan pelaburan yang termaklum serta berkesan.

“Sebagai sebuah institusi kewangan, kami mempunyai kewajipan untuk membantu semua pelanggan dalam mencapai kemampanan dan kemakmuran kewangan dengan menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan yang boleh dipercayai serta bertanggungjawab.

“Kami mengiktiraf pengurusan kekayaan adalah aspek penting dalam perancangan kewangan pelanggan dan percaya bahawa memperkasakan pelabur dengan alat dan pengetahuan yang diperlukan adalah penting dalam persekitaran kewangan yang sentiasa berubah hari ini,”katanya dalam satu kenyataan.

Kwok Wai berkata, tinjauan HLB itu juga mendedahkan daya penggerak di sebalik pilihan strategi pelaburan pelabur dengan keluarga dan komuniti memainkan peranan penting dalam motivasi untuk mengumpul kekayaan.

Selain itu, katanya tinjauan juga mendedahkan bahawa 78 peratus rakyat Malaysia mempunyai perlindungan insurans dengan lebih separuh daripada mereka menganggap insurans sebagai sangat penting dalam memastikan sokongan berterusan untuk keluarga menghadapi keadaan yang tidak dijangka.

“Penting untuk menghapuskan mitos yang menyelubungi pengurusan kekayaan melalui usaha memupuk celik kewangan dan kesedaran, memastikan individu dilengkapi dengan pengetahuan dan pandangan yang diperlukan untuk mengemudi kerumitan pengurusan kekayaan dengan yakin serta berhemat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini