comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga barang di pintu kilang terus catat penurunan

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang, terus merekodkan penurunan kepada -1.3 peratus pada Disember 2023 berbanding -1.5 peratus pada November 2023, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penurunan ini disebabkan oleh sektor perlombongan yang menurun sebanyak -3.4 peratus, disebabkan oleh penurunan kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli (-7.8 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (-1.9 peratus).

Beliau berkata, sektor pembuatan terus turun -1.5 peratus berbanding -1.4 peratus pada November 2023, disebabkan oleh indeks pembuatan kok & petroleum bertapis (-12.3 peratus) dan pembuatan produk makanan (-4.2 peratus).

Katanya, sektor bekalan elektrik & gas juga turun -0.6 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.

“Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 1.3 peratus selepas penurunan -0.4 peratus pada November 2023 disebabkan oleh kenaikan dalam indeks pengeluaran ternakan (6.3 peratus) dan perikanan (3.8 peratus).

“Pada masa yang sama, indeks bekalan air juga meningkat 0.4 peratus pada bulan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan terus menurun -0.2 peratus pada Disember 2023 berbanding -0.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Katanya, kecuali sektor pertanian, perhutanan & perikanan yang kekal tidak berubah, semua sektor lain mencatatkan penurunan pada bulan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini