comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga barangan pengguna Jepun melonjak ke paras tertinggi 

Foto hiasan

TOKYO: Harga pengguna Jepun meningkat 3.6 peratus pada Oktober berbanding tahun sebelumnya sekali gus menandakan paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun, berikutan kelemahan yen menyebabkan kos tenaga melambung tinggi.

Xinhua melaporkan indeks harga pengguna teras di seluruh negara yang tidak termasuk barangan makanan segar meningkat untuk bulan ke-14 berturut-turut mengatasi ramalan kenaikan 3.5 peratus oleh pakar ekonomi di sini, memetik satu laporan pada Jumaat.

Data terkini menunjukkan inflasi di Jepun mencecah paras tertinggi sejak Februari 1982 susulan kenaikan 3.0 peratus pada September dan sekali lagi mengatasi sasaran dua peratus oleh Bank of Japan (BOJ) .

CPI kekal pada sasaran dua peratus BOJ selama tujuh bulan berturut-turut tetapi bank pusat Jepun itu percaya krisis inflasi global semasa bersifat sementara.

Komitmen bank terhadap dasar monetari mudah, dilihat berbeza dengan bank pusat utama lain yang secara agresif menaikkan kadar faedah bagi mengawal inflasi yang melambung tinggi.

Jurang kadar faedah yang semakin melebar antara BOJ dan rakan setara globalnya, khususnya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) telah mengakibatkan mata wang Jepun jatuh ke paras terendah dalam tempoh 32 tahun berbanding dolar AS.

Kelemahan berterusan yen sejak kebelakangan ini menyumbang kepada peningkatan kos import bagi produk tenaga termasuk gas asli cair dan arang batu serta produk makanan dan kesan buruknya kini dirasai isi rumah miskin di Jepun. – BERNAMA

Loading...
Terkini