Tumpuan :
Detik Niaga

Harga beras import di paras tertinggi 15 tahun, dijangka terus meningkat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Harga beras import dijangka terus meningkat berikutan kebimbangan terhadap bekalan global dengan memperlihatkan harga beras di Asia mencecah paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 tahun, demikian kata penganalisis.

Harga gred beras putih Thailand lima peratus hancur, penanda aras Asia, meningkat kepada AS$648 satu tan, tertinggi sejak Oktober 2008, demikian mengikut Persatuan Pengeksport Beras Thailand pada Rabu.

Cabaran terkini ialah bekalan beras Thailand, pengeksport kedua terbesar berikutan negara itu menggesa petani untuk beralih kepada tanaman yang memerlukan kurang air, ketika negara itu bersiap sedia untuk keadaan lebih kering akibat ketibaan El Nino.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kemungkinan harga beras yang diimport untuk naik sememangnya ada kerana ia tidak dikawal oleh kerajaan.

Beliau berkata, tahap sara diri bagi beras adalah 65 peratus pada 2021, justeru menunjukkan terdapat pergantungan terhadap sumber bagi beras.

“Justeru, pengguna mungkin akan mengalihkan perhatian kepada beras putih tempatan yang mana harganya dikawal oleh kerajaan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kesan kenaikan harga beras di Asia yang mencecah paras tertinggi sejak 2008.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata negara mengimport antara 30 ke 40 peratus dari keperluan beras.

Beliau berkata, keadaan itu mendedahkan negara kepada kenaikan harga apabila secara purata harga beras Asia telah melepasi paras tertinggi 2008 semalam.

Katanya, sedia maklum bahawa kenaikan harga disebabkan oleh peningkatan kadar inflasi global berikutan harga baja yang meningkat dan kos logistik dan pengangkutan.

Loading...
Terkini