comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga minyak sawit diunjur lebih tinggi tahun depan

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pasaran minyak sawit dijangka menunjukkan arah aliran harga yang sedikit positif menuju ke 2024 dengan unjuran harga sekitar RM3,700 satu tan dan RM4,100 satu tan, demikian menurut Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).

Firma penarafan itu berkata, pasaran minyak makan kini sedang pulih daripada tekanan jualan yang besar yang disaksikan oleh minyak bunga matahari sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, arah aliran pengeluaran bermusim, keadaan iklim yang lebih panas dan permintaan yang semakin meningkat untuk bahan api bio dijangka memberikan tekanan aliran meningkat kepada harga minyak sawit.

“Harga minyak makan tidak menentu sejak beberapa tahun lalu didorong oleh beberapa faktor, termasuk sekatan eksport, kekurangan buruh dan konflik Russia-Ukraine menyebabkan bekalan minyak makan yang lebih rendah.

“Pada 2022, konflik geopolitik antara Russia dan Ukraine menyebabkan kekurangan bekalan minyak bunga matahari global, menyebabkan harga minyak sawit mencapai paras tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

MARC berkata, pada Julai 2022, pembentukan Inisiatif Bijirin Laut Hitam (BSGI) yang membenarkan Ukraine mengeksport minyak bunga matahari melalui Wilayah Laut Hitam menjadikan bekalan minyak bunga matahari global yang stabil.

Ia berkata, bagi tahun pemasaran berakhir 31 Ogos 2023, eksport minyak bunga matahari Ukraine meningkat sebanyak 27.3 peratus kepada 5.7 juta tan dan berikutan hasil tuaian yang banyak, eksport minyak bunga matahari Russia juga meningkat sebanyak 28.6 peratus kepada 4.1 juta tan.

“Ini telah menyebabkan harga minyak bunga matahari jatuh ke bawah paras harga minyak kacang soya, dan di Eropah, malah mengalami diskaun berbanding harga minyak sawit.

“Lazimnya, harga minyak bunga matahari diniagakan di atas harga minyak kacang soya, diikuti harga minyak sawit,” katanya.

MARC berkata, minyak kacang soya, pengganti minyak sawit utama dan penentu harga minyak sawit, juga terjejas oleh keadaan cuaca El Niño.

Loading...
Terkini