comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga minyak tinggi bawa impak berbeza – Pakar ekonomi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ketegangan di Asia Barat yang berterusan sejak beberapa bulan lalu dan dilihat semakin memuncak dijangka meningkatkan lagi harga minyak mentah, sekali gus boleh memberi manfaat besar kepada negara pengeluar minyak yang merupakan pengeksport bersih, kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sektor minyak dan gas negara dijangka mencatatkan prestasi memberangsangkan kerana harga dijangka terus kekal tinggi.

“Saya rasa harga yang lebih tinggi juga akan mendorong syarikat minyak utama untuk melakukan penerokaan dan pengeluaran,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai serangan Iran ke atas Israel baru-baru ini.

Minyak mentah West Texas Intermediate diniagakan pada AS$89.98 setong dan Moody’s menjangka harga minyak menokok AS$5 setong lagi terhadap premium risiko dan melonjakkan harga minyak kepada lingkungan AS$90 hingga AS$95 setong.

“Terdapat dua senario di sini dengan yang paling ketara adalah tindak balas terancang serta bertahan dari Israel yang akan meredakan ketegangan, seiring dengan tekanan daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden serta komuniti global.

“Ini akan menyaksikan premium risiko AS$10 setong itu akan lenyap dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Kedua, risiko lebih menjejaskan yang akan menyaksikan konflik semakin memburuk apabila Israel bertindak balas dan jika itu berlaku, harga minyak boleh melonjak kepada lebih daripada AS$100 setong,” kata firma penyelidikan itu.

Berkongsi pandangan yang sama dengan Mohd Afzanizam, bekas Ketua Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata kerajaan dijangka meraih kenaikan hasil dari segi nilai eksport.

“Saya tidak pasti sama ada Israel akan mengambil tindakan ke atas Iran seperti apa yang ia telah lakukan terhadap Gaza (Palestine), mungkin juga ia akan melakukan terhadap Iran, Syria yang membuat serangan balas itu. Jadi harga minyak mentah akan naik dan ini akan memberikan satu dimensi yang bukanlah pengalaman baharu bagi kita.

“Kita akan merasai kenaikan ataupun peningkatan harga minyak dan apabila ia berlaku maka eksport kita akan meningkat dan juga hasil kerajaan persekutuan akan meningkat.. kerana nilai eksport yang lebih tinggi dan harga minyak mentah yang naik,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini