comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga MSM dijangka kekal lepasi RM4,000 satu tan sehingga suku pertama 2023

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal melebihi paras RM4,000 satu tan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, mungkin sehingga suku pertama 2023, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

Menurutnya, harga komoditi itu akan mula menurun dari suku kedua 2023 dan seterusnya, didorong oleh jangkaan paras bekalan yang lebih baik untuk minyak sayuran ekoran kekurangan tenaga buruh di Malaysia serta ketiadaan anomali cuaca, risiko kemelesetan global yang kian meningkat serta inventori yang terkumpul di negara-negara pengimport utama minyak sawit.

“Kebanyakan pemilik ladang dalam liputan kami berkemungkinan mencatatkan prestasi yang lebih lemah bagi tempoh suku ke suku dan tahun ke tahun dalam keputusan suku tahunan mereka yang akan datang, bermula dari 22 Nov 2022, berikutan harga minyak sawit yang lebih rendah,” katanya.

Firma penyelidikan itu menambah bagi tempoh suku ke suku,  harga MSM yang lebih rendah akan mengheret pendapatan perladangan huluan kerana keluaran buah tandan segar (FFB) yang lebih tinggi secara bermusim diimbangi oleh harga produk sawit yang jauh lebih rendah.

Berdasarkan tempoh tahun ke tahun pula, kebanyakan pemilik ladang kemungkinan mencatatkan kemerosotan dalam pendapatan perladangan huluan mereka, berikutan pengeluaran FFB dan harga produk sawit yang lebih rendah, beserta kos pengeluaran yang lebih tinggi terutamanya timbul daripada kesan penuh kenaikan gaji minimum di Malaysia dan harga baja yang lebih tinggi.

Pemilik ladang yang mempunyai pendedahan yang tinggi kepada operasi huluan di Indonesia mungkin lebih bernasib lebih baik berbanding pemilik yang mempunyai pendedahan tinggi di Malaysia, memandangkan perubahan dalam struktur levi eksport dan jangkaan pengeluaran FFB  yang lebih tinggi.

Bagi pemain bersepadu, harga bahan mentah yang tidak menentu, ditambah dengan kos pengangkutan yang tinggi dijangka menghalang keuntungan pada segmen hiliran, katanya.

HLIB Research seterusnya mengekalkan andaian harga MSM  bagi tahun 2022-2024, masing-masing pada RM5,050 satu tan, RM4,000 satu tan dan RM3,800 satu tan. – BERNAMA

Loading...
Terkini