comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga sawit dijangka sekitar RM4,000 – MPOB

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pengeluaran minyak sawit Malaysia akan mengalami sedikit perubahan pada tahun ini berbanding 2022, dengan harga minyak sawit mentah (MSM) berlegar sekitar RM4,000 setan, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Ketika menuju ke penghujung tahun, kami masih berharap boleh mencapai pengeluaran yang lebih tinggi berbanding apa yang kami capai tahun lepas, iaitu 18.5 juta tan,” kata Ketua Pengarah MPOB Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Ahmad Parveez berkata pengeluaran MSM negara bagi sembilan bulan pertama 2023 hanya 0.5 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata demikian di Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC 2023) di sini hari ini.​

Ahmad Parveez menyatakan bahawa September dan Oktober biasanya merupakan bulan yang baik untuk pengeluaran, tetapi perubahan corak cuaca baru-baru ini telah mengubahnya.

Beliau juga berkata kesan El Nino hanya akan dapat dilihat dalam tempoh enam bulan akan datang.

Sementara itu, Ahmad Parveez berkata permintaan MSM dijangka meningkat sedikit menjelang musim perayaan, dengan India meningkatkan stok MSM untuk Deepavali diikuti China untuk Tahun Baharu Cina dan negara-negara Islam untuk Ramadhan serta Hari Raya Aidilfitri.

Terdahulu, beliau menyampaikan pembentangan yang mana beliau mengetengahkan tujuh cabaran dihadapi oleh industri iaitu isu kemampanan, dakwaan penebangan hutan dan kemusnahan biodiversiti, perubahan iklim, isu-isu sekuriti makanan dan produktiviti.

Menegaskan keperluan untuk meningkatkan kemampanan, Ahmad Parveez berkata kerajaan telah menjadualkan semula tempoh peralihan standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2015 atau MSPO 1.0 kepada MSPO 2022 atau MSPO 2.0 yang disemak dari Ogos 2023 kepada Disember 2024.

Loading...
Terkini