comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga sawit diunjur kekal atas RM4,000 tahun ini

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) pada 2023 dijangka berlegar antara RM4,000 hingga RM4,200 satu tan berbanding RM5,087.50 satu tan pada tahun sebelumnya, demikian unjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata faktor utama yang akan mempengaruhi harga MSM ialah ketersediaan tenaga kerja yang masih menjadi isu dan pengeluaran biji bunga matahari yang lebih rendah dari Ukraine berikutan konflik yang berterusan dengan Russia.

Namun begitu, beliau berkata, import minyak sawit yang lebih tinggi oleh China berikutan kelonggaran peraturan COVID-19 akan mempengaruhi prestasi harga MSM tahun ini.

“Faktor lain termasuk pengeluaran MSM Indonesia dipersoalkan, mandat biodieselnya kepada B35 dan dasar eksportnya yang diperketatkan,” katanya pada Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2023 anjuran MPOB di sini, hari ini.

Pada 2022, konflik di Ukraine telah menyebabkan permintaan terhadap minyak sawit meningkat dan MSM didagangkan pada harga purata harian tertinggi dalam sejarah iaitu RM8,076.50 satu tan pada 2 Mac 2022.

Ahmad Parveez berkata, berkuat kuasa 1 Januari 2023, Indonesia telah mengetatkan dasar eksport minyak sawitnya bagi mengekalkan lebih banyak bekalan domestik dan mengurangkan eksport bagi memastikan minyak sawit mencukupi untuk musim perayaan kerana pengeluaran dijangka rendah mengikut musim pada suku pertama tahun ini.

Beliau berkata, berkuat kuasa 1 Februari 2023, Indonesia akan mengenakan mandat campuran biodiesel yang lebih tinggi, B35 daripada B30, dan seterusnya akan meningkatkan penggunaan minyak sawit domestik.

Katanya, perubahan dasar terbaru itu akan menyekat lagi bekalan minyak sawit global. Justeru, jelasnya, permintaan minyak sawit Malaysia dijangka meningkat yang akhirnya akan membantu mengurangkan stok minyak sawit domestik yang lebih tinggi.

“Kebimbangan terhadap risiko bekalan kacang soya akibat trend cuaca kering di Argentina dan selatan Brazil yang menjejaskan tanaman adalah satu lagi faktor yang akan mempengaruhi harga MSM negara.

“Walaupun terdapat beberapa isyarat bahawa cuaca kering di Amerika Selatan semakin baik, ia mungkin terlalu lewat ketika ini untuk menyelamatkan tanaman,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini