comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga sawit susut 11 peratus dalam tempoh sebulan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) susut 11 peratus sejak sebulan lalu kepada RM3,691 satu tan pada 2 Februari lalu berbanding RM4,165 satu tan yang dicatatkan pada 3 Januari 2023.

Ketua Penyelidik CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang, berkata kejatuhan harga MSM disebabkan kebimbangan mengenai kemungkinan import minyak boleh dimakan dari India dalam tempoh beberapa bulan akan datang menjadi lebih perlahan.

Katanya, perkembangan harga MSM itu juga akibat stok minyak sayuran yang tinggi di India, disebabkan import minyak boleh dimakan tinggi beberapa bulan lalu dan kenaikan mendadak pengeluaran minyak kanola dan soya domestik.

“Kejatuhan harga MSM disebabkan kebimbangan terhadap kelemahan permintaan dari India,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagaimanapun, Lee Fang berkata, purata harga MSM bagi Januari berada pada RM3,992 satu tan, susut hanya satu peratus bulan ke bulan, selaras dengan unjuran CGS-CIMB iaitu RM3,800 satu tan bagi tahun ini.

“Kami berpendapat bahawa kelemahan kepada harga MSM mungkin terhad dalam jangka masa pendek seperti yang dikatakan oleh Indonesia pada 6 Febuari bahawa ia mungkin menggantung beberapa permit eksport minyak sawit untuk melindungi bekalan domestik di tengah kenaikan harga minyak masak menjelang Festival Lebaran.

“Di samping itu, Indonesia merancang untuk meningkatkan mandat biodieselnya kepada 35 peratus pada Februari, dari 30 peratus sebelumnya,” katanya.

Beliau menjelaskan, CGS-CIMB menjangkakan beberapa penambahbaikan dalam eksport minyak sawit Malaysia selepas Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) membatalkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) ke atas Sime Darby Plantation.

“Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa terdapat kelemahan harga MSM dalam separuh kedua 2023 disebabkan oleh bekalan minyak sawit yang lebih baik, dengan kerajaan telah meredakan keadaan menerusi langkah pengambilan pekerja asing untuk sektor perladangan pada 17 Januari lalu,” katanya.

Lee Fang berkata, firma penyelidik itu menjangkakan harga MSM didagangkan dalam julat RM3,700 hingga RM4,200 satu tan pada bulan ini.

“Bagi suku keempat 2022, kami menjangkakan syarikat perladangan tempatan akan melaporkan hasil lebih lemah untuk tempoh suku ke suku dan tahun ke tahun disebabkan harga MSM lebih rendah dan peningkatan kos operasi,” katanya. –BERITA HARIAN

Loading...
Terkini