KUALA LUMPUR: Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) terus berdepan keadaan pasaran yang mencabar pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (TK2023).
Dengan matlamat mengukuhkan prospek jangka panjang, kumpulan telah mengumumkan penutupan kemudahan pengeluaran Bestari Jaya untuk meningkatkan kecekapan operasi dan penghematan kos.
Kumpulan mengiktiraf kos rosot nilai sekali berjumlah RM347 juta, yang menyebabkan kerugian tahun penuh selepas cukai berjumlah RM239 juta pada TK2023.
“Bagaimanapun, tanpa mengambil kira rosot nilai sekali sahaja itu, kumpulan mencatatkan untung selepas cukai tahun penuh berjumlah RM108 juta bagi TK2023.
“Pencapaian ini adalah berasaskan hasil berjumlah RM2.4 bilion, lantas menunjukkan kumpulan terus mencatatkan jualan kukuh walaupun dalam persekitaran yang sukar.
“Kedudukan kewangan asas kumpulan juga kekal mantap, dengan tunai bersih mencecah RM1.6 bilion pada 31 Mac 2023,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, bagi suku pertama tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2023, prestasi kumpulan masih terkesan, dengan kerugian selepas cukai RM51 juta.
Hasil bagi suku tahun dilaporkan berjumlah RM440 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Holdings Bhd, Kuan Mun Leong, berkata, walaupun menghadapi cabaran semasa termasuk lebihan penawaran dalam sektor sarung tangan, persaingan lebih sengit daripada peserta global dan juga kos operasi yang semakin tinggi, Hartalega memberi tumpuan untuk menjamin kemapanan jangka panjang kumpulan.
“Memanfaatkan pengalaman 35 tahun dalam sektor ini dan dipacu oleh Pelan Strategik 5 Tahun, kami bertekad untuk muncul sebagai syarikat yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
“Oleh yang demikian, langkah menutup kemudahan Bestari Jaya ini akanmembolehkan kami menyatukan operasi kami di Kompleks Pengilangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) di Sepang.
Sejajar dengan itu, kami memberi tumpuan untuk terus mengoptimumkan kos, menggalakkan budaya inovasi di seluruh organisasi dan memanfaatkan tahap automasi lebih tinggi dan teknologicanggih untuk mengukuhkan daya saing kami,” katanya.