comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Hasil negara capai unjuran RM238 bilion tahun lalu – PM Anwar

PUTRAJAYA: Hasil negara mencapai unjurannya tahun lalu dengan kira-kira RM238 bilion diperoleh kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, angka lebih baik itu diperoleh hasil kutipan masing-masing RM183 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta RM55 bilion menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Hasil negara, kita akhirnya dapat memenuhi unjuran yang tidak selalu dicapai. Kalau JKDM itu, memang lebih (kutipan) daripada yang diunjurkan. (Hasil dikutip) LHDN RM183 bilion dan JKDM RM55 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan yakin kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu mencapai tahap empat peratus.

“Kadar KDNK untuk tiga suku pertama 3.9 peratus, sasaran KDNK 2023.. insya-Allah empat peratus.”

“(Bagaimanapun) sepertimana saya sebut, jangan kita terpukau dengan angka. Saya tak kata statistik itu menipu, statistik boleh dipertahankan, tapi kadang-kadang di beberapa kawasan itu, harga (barangan) itu mungkin berbeza, statistik ini angka purata saja,” katanya turut memaklumkan kadar inflasi akhir tahun lalu juga lebih rendah berbanding tempoh sama pada 2022.

Mengulas pelaksanaan penyasaran subsidi kerajaan, Anwar menjelaskan pentadbirannya fokus untuk meneruskan inisiatif berkenaan, sungguhpun wujud kebimbangan dan kritikan tertentu terhadap pelaksanaannya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini