comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Hernan Corp sasar eksport 30,000 tan durian ke China dalam tempoh lima tahun akan datang

Foto hiasan

BANGKOK: Hernan Corporation Sdn Bhd, pengeluar rantaian sejuk terbesar Malaysia dan pengeksport utama durian Malaysia serta produk berilhamkan durian, menyasarkan untuk mengeksport 30,000 tan durian ke China dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah komersialnya Yang Hon Shung berkata permintaan terhadap durian Malaysia di China, terutamanya jenis Musang King dan Black Thorn atau Duri Hitam terus meningkat.

“Tahun lepas sahaja, China mengimport 1.3 juta tan buah durian dengan permintaan dijangka meningkat sebanyak lima hingga enam peratus setiap tahun.

“Selaras dengan rancangan pembesaran kami, kami telah menetapkan sasaran untuk mengeksport 30,000 tan durian dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memenuhi permintaan di China,” katanya kepada Bernama di acara Thaifex-Anuga Asia 2024 di Impact Arena, di sini.

Yang berkata syarikat itu merancang melabur RM30 juta hingga RM50 juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang untuk membina dua kilang tambahan di Malaysia.

“Pada masa ini, kami beroperasi di empat kilang di Malaysia yang terletak di Ara Damansara, Bentong, Tangkak dan Puncak Alam.

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, kami menyasarkan untuk mewujudkan dua lagi kilang pemprosesan durian bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya sambil menyatakan bahawa 95 peratus daripada pengeluaran durian kumpulan itu adalah untuk dieksport, dengan bakinya bagi kegunaan domestik.

Mengenai had eksport, Yang memberitahu Malaysia pada masa ini hanya membenarkan eksport durian sejuk beku, manakala China mengimport terutamanya dari Thailand dan Vietnam.

Bagaimanapun, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dengan China tahun ini, beliau berharap Malaysia akan mendapat kelulusan mengeksport durian segar menjelang akhir tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini