comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

HLIB kekalkan harga MSM tahun ini pada RM4,000 satu tan

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) berkemungkinan kekal di paras kurang memberangsangkan untuk beberapa bulan lagi sehingga suku kedua 2024 berikutan ketiadaan elemen pemangkin, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) hari ini.

Bank pelaburan itu juga yakin faktor-faktor seperti diskaun harga MSM yang kurang menarik berbanding minyak soya, tebaran minyak sawit minyak gas (POGO) dan paras simpanan yang tinggi dalam kalangan negara pengimport utama khususnya China dan India, akan mengekang permintaan terhadap minyak sawit.

“Sentimen permintaan bagi minyal sawit akan kembali pulih selepas impak El Nino terhadap pengeluaran sawit dapat dirasai (berkemungkinan menjelang separuh pertama 2024 atau awal separuh pertama 2024.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan pendirian ‘neutral’ terhadap sektor itu berikutan ketiadaan pemangkin yang jelas,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Bagi 2024, HLIB telah mengekalkan unjuran harga MSM pada RM4,000 satu tan pada 2024 dan 3,800 satu tan pada 2025, bersandarkan andaian bahawa impak El Nino terhadap pengeluaran dan harga MSM akan hanya ketara pada pertengahan 2024.

Bank pelaburan itu berkata, bergantung kepada keamatan dan jangka masa kejadian, aspek cuaca yang tidak menentu akibat El Nino itu akan menyebabkan hasil tandan buah segar (TBS) lebih rendah, bunga yang mudah gugur serta fasa penghasilan bunga jantan yang berpanjangan.

Malah bagi tempoh dua episod El Nino (pada 2009-2010 dan 2015-2016), kesannya terhadap hasil MSM hanya dapat dilihat pada lapan hingga sembilan bulan selepas itu.

“Berikutan itu, impak El Nino terhadap pengeluaran sawit mungkin akan hanya dapat dilihat menjelang akhir separuh pertama 2024 atau awal separuh kedua 2024 yang seterusnya dapat meningkatkan sentimen terhadap harga MSM,” kata HLIB.

Loading...
Terkini