comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Hutang tak berbayar dijangka meningkat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) di negara ini dijangka meningkat kepada 2.5 peratus hingga 3.0 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang berbanding 1.8 peratus setakat akhir Jun 2022, demikian jangkaan S&P Global Rating.

Penganalisis Kredit Utamanya, Nikita Anand, berkata pinjaman kepada isi rumah berpendapatan rendah dan perusahaan kecil sederhana (PKS) yang bergelut untuk pulih daripada pandemik boleh memberi risiko dan inflasi serta kadar faedah yang lebih tinggi menambahkan lagi tekanan.

Namun, katanya, peruntukan tinggi bank harus mengehadkan keperluan peruntukan tambahan walaupun NPL meningkat.

“Kos kredit akan berkurangan kepada 30 hingga 40 mata asas tetapi kekal lebih tinggi daripada paras pra-pandemik kerana bank mungkin kekal berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan global,” katanya dalam laporan Tinjauan Bank Global Mengikut Negara 2023 oleh S&P Global Ratings.

Anand berkata, pendapatan bank dijangka bertambah baik dengan boleh menghampiri paras pra-pandemik bermula 2023.

Beliau berkata, marjin yang lebih tinggi, kos kredit sederhana dan kadar cukai yang dinormalkan akan mendorong peningkatan.

“Berdasarkan kes asas kami, kami jangka pulangan bagi purata aset sebanyak 1.3 peratus hingga 1.4 peratus berbanding dengan anggaran 1.1 peratus hingga 1.2 peratus untuk 2022,” katanya.

Anand berkata, inflasi dan kadar faedah yang lebih tinggi boleh melembapkan permintaan kredit dan meningkatkan risiko lalai bagi sesetengah pengguna dan PKS berpendapatan rendah.

“Kami melihat risiko ini sebagai terurus. Walaupun ia bukan kes asas kami, peningkatan mendadak dalam pengangguran juga boleh meningkatkan risiko kualiti aset untuk sektor perbankan,” katanya.

Mengenai pelancaran bank digital, Anand berkata, beberapa bank digital baharu dijangka melancarkan operasi mereka pada 2023.

Beliau berkata, walaupun pihaknya percaya bank besar akan mengekalkan bahagian pasaran mereka, ia akan menjadi menarik untuk melihat bagaimana perniagaan mereka model berkembang sebagai tindak balas kepada persaingan digital. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini