comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

IMF saran BNM perketatkan lagi dasar monetari

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Dasar monetari di Malaysia perlu diperketatkan lagi untuk membawa pendirian akomodatif pada masa ini kepada neutral bagi memastikan inflasi terkawal, demikian saranan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Saranan itu dikemukakan oleh Lamin Leigh, yang mengetuai pasukan IMF bagi Perundingan Artikel IV 2023 oleh IMF dengan pihak berkuasa Malaysia dan pemegang taruh lain yang diadakan pada 8 Mac hingga 20 Mac 2023.

Leigh berkata, komunikasi jelas yang berterusan mengenai rasional keputusan dasar Bank Negara Malaysia (BNM) adalah kritikal dalam persekitaran yang pantas berkembang dan sangat tidak menentu.

Katanya, pemantauan yang dipertingkatkan ke atas lembaran imbangan isi rumah dan korporat diperlukan dalam persekitaran semasa kadar faedah yang lebih tinggi dan momentum pertumbuhan yang lebih lemah.

“Memperluas kit alat kehematan makro seharusnya membantu menyokong usaha ini. Fleksibiliti kadar pertukaran harus menjadi barisan pertahanan pertama terhadap kejutan luaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Leigh berkata, strategi pengukuhan fiskal secara beransur-ansur, seperti yang ditetapkan dengan sewajarnya dalam Belanjawan 2023 diperlukan untuk membina semula penampan, meletakkan hutang pada laluan menurun dan mengurangkan risiko fiskal.

Walau bagaimanapun, katanya, ia harus disokong secara kukuh oleh ukuran hasil yang berkualiti dan tahan lama.

“Langkah itu akan mewujudkan ruang untuk keperluan pelaburan kritikal dan untuk pemindahan yang disasarkan kepada isi rumah berpendapatan rendah serta membantu menyokong keyakinan pasaran terhadap asas kukuh Malaysia.

“Komitmen pihak berkuasa terhadap pembaharuan fiskal adalah dialu-alukan, termasuk pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal yang akan datang, pembaharuan subsidi yang dirancang dan rancangan untuk membangunkan strategi pendapatan jangka sederhana,” katanya. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini