comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Import minyak sawit India susut ke paras 10 bulan terendah

MUMBAI: Import minyak sawit India pada Mac menyusut ke paras terendah dalam tempoh 10 bulan disebabkan peningkatan harga.

Ia menyebabkan pihak penapis menggantikan minyak sawit dengan minyak bunga matahari sekali gus menjadikan import minyak bunga matahari mencapai kedua tertinggi dalam rekod.

Pembelian minyak sawit yang lebih rendah oleh India, pengimport minyak sayuran terbesar global berpotensi mengehadkan rali dalam penanda aras niaga hadapan minyak sawit Malaysia yang didagangkan hampir tertinggi dalam setahun.

Pembelian minyak bunga matahari yang lebih tinggi akan membantu mengurangkan inventori minyak bunga matahari di rantau Laut Hitam.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA), BV Mehta berkata, import minyak sawit turun sekitar 2.5 peratus pada Mac daripada bulan sebelumnya kepada 485,354 tan metrik, terendah sejak Mei 2023.

Beliau berkata, kejatuhan stok minyak sawit di negara pengeluar mendorong harga lebih tinggi, mendorong pembeli India beralih daripada minyak sawit kepada minyak bunga matahari.

Import minyak bunga matahari pada bulan itu melonjak 50 peratus kepada 445,723 tan, kedua tertinggi dalam rekod.Minyak sawit mentah (MSM) didagangkan pada AS$1,040 satu tan, termasuk kos, insurans dan pengangkutan (CIF) di India untuk penghantaran Mei, manakala minyak soya dan minyak bunga matahari sekitar AS$1,015 dan AS$975 satu tan.

Import minyak soya pada Mac turut melonjak 26.4 peratus kepada 218,604 tan daripada bulan sebelumnya, dan jauh di bawah purata import bulanan sebanyak 306,000 tan yang dilihat pada tahun pemasaran terakhir berakhir 31 Oktober lalu.

Import minyak bunga matahari dan soya yang lebih tinggi telah menaikkan jumlah import minyak makan India pada Mac ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan pada 1.149 juta tan, meningkat 18.8 peratus daripada sebulan sebelumnya.

India membeli minyak sawit terutamanya dari Indonesia, Malaysia dan Thailand, manakala ia mengimport minyak soya dan bunga matahari dari Argentina, Brazil, Rusia dan Ukraine. – Reuters

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini