comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Indeks harga seunit simen meningkat 1.5 peratus 

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Indeks harga seunit simen meningkat 1.5 peratus pada Disember 2022 berbanding November 2022 dan mencatatkan peningkatan dua bulan berturut-turut, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan bulan ke bulan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih juga menunjukkan peningkatan indeks harga seunit bagi beberapa bahan seperti simen, batu bata dan  dinding, bahan paip dan cat untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Menerusi kenyataan mengenai Indeks Kerja-kerja Pembinaan dan Struktur Disember 2022 yang dikeluarkan DOSM pada Isnin, beliau berkata arang batu digunakan sebagai sumber tenaga utama dalam proses pembakaran untuk penghasilan simen, oleh itu kenaikan harga arang batu menjadi antara punca kenaikan harga bahan ini.

“Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa dalam laporan ‘Coal Market 2022’, pasaran arang batu pada 2022 telah terkesan akibat aliran perdagangan terganggu, harga yang meningkat tinggi dan permintaan telah meningkat sebanyak 1.2 peratus, mencapai paras tertinggi dan melepasi 8.0 bilion tan buat kali pertama.

“Berdasarkan permintaan yang dijangka kekal pada paras yang sama dalam beberapa tahun akan datang, harga arang batu akan terus meningkat pada 2023 dengan permintaan dijangka kekal tidak berubah sehingga 2025 apabila kemerosotan dalam pasaran matang diimbangi oleh permintaan kukuh berterusan dalam ekonomi sedang pesat membangun di negara-negara Asia,” katanya.

Mohd Uzir berkata selain itu, indeks harga seunit besi pula mencatatkan sedikit penurunan iaitu 0.4 peratus berbanding November 2022.

Penurunan indeks harga besi seiring dengan penurunan harga bijih besi dan besi utama dunia di peringkat global, katanya.

Beliau berkata menurut Trading Economics, harga besi dijangkakan terus menurun kerana penguncupan dan risiko kredit yang tinggi untuk sektor hartanah di China yang seterusnya akan mengurangkan permintaan untuk input pembinaan dan perindustrian yang menggunakan bahan tersebut.

“Namun begitu, masih terdapat ketidaktentuan pada harga pasaran yang mungkin memberi tekanan berterusan ke atas harga besi,” katanya.

Menurut DOSM, perbandingan tahun ke tahun indeks harga seunit bahan binaan pula mencatatkan peningkatan di antara 1.8 dengan 11.8 peratus pada Disember 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun lepas.

Indeks harga bagi seunit bagi besi serta keratan keluli dan logam masing-masing telah meningkat 1.8 peratus dan 8.4 peratus bagi Disember 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan berkata purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars adalah RM3,576 bagi setiap tan mencatatkan penurunan 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya (November 2022: RM3,599.34 per tan).

Purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan sedikit peningkatan 0.3 peratus iaitu RM20.95/50 kilogram (kg) berbanding RM20.88/50 kg (November 2022), katanya.

Beliau berkata purata harga batu baur dan pasir kekal tidak berubah iaitu masing-masing RM41.14 per tan dan RM36.30 per metrik.

“Namun begitu, perbandingan tahunan pula mencatatkan purata harga harga besi dan simen telah meningkat masing-masing 10.2 peratus dan 9.0 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata selain itu, Indeks Kos Binaan (IKB) (tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli) bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan peningkatan di antara 0.5 dengan 1.7 peratus pada Disember 2022 berbanding pada bulan sebelumnya.

Peningkatan indeks yang tertinggi adalah Bangunan (Konkrit Tetulang) Lima Tingkat dan Lebih (Untuk Penginapan) di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan, katanya.

“Bagi kawasan Sabah pula, IKB (tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli) menunjukkan peningkatan bagi hampir keseluruhan kategori bangunan iaitu 0.2 hingga 2.6 peratus pada Disember 2022 berbanding pada bulan sebelumnya.

“Peningkatan indeks yang tertinggi adalah Cerucuk (Konkrit Tetulang) di Tawau manakala IKB (tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli) di Sarawak menunjukkan peningkatan iaitu di antara 2.4 dengan 2.6 peratus bagi hampir semua kategori bangunan,” katanya.

Menurut DOSM, perbandingan secara tahunan bagi tempoh Disember 2021 dan Disember 2022 menunjukkan peningkatan bagi IKB dengan bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia adalah di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan iaitu Bangunan (Konkrit Tetulang) Lima tingkat dan Lebih (Untuk Penginapan).

Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Sabah ialah Cerucuk (Konkrit Tetulang) di Sandakan, manakala di Sarawak pula adalah Bangunan Kayu di Sibu, katanya.

DOSM juga menerbitkan statistik ekonomi dan sosial iaitu PocketStats yang mengandungi statistik suku tahunan dan tahunan yang boleh diperoleh daripada portal DOSM atau melalui pautan https://bit.ly/PocketStatsS1_2022 – BERNAMA

Loading...
Terkini