comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Indeks KDNK utama Malaysia catat pemulihan pada suku pertama 

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank (RHB IB) berkata indeks keluaran dalam negara kasar (KDNK) utama Malaysia menunjukkan bukti pemulihan yang ketara pada suku pertama 2024.

RHB IB dalam satu nota penyelidikan berkata eksport Malaysia berkembang pada kadar kukuh  8.7 peratus tahun ke tahun pada Januari 2024, menunjukkan bahawa penurunan pada Disember kemungkinan hanya situasi sementara.

Dalam pada itu, RHB IB berkata minit mesyuarat terkini Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menguatkan pandangan bahawa Kadar Dana Persekutuan AS (FFR) akan kekal tinggi bagi tempoh yang lebih lama di paras kemuncaknya ketika ini pada 5.25 peratus hingga 5.50 peratus.

“Minit mesyuarat itu menunjukkan kebimbangan pegawai Rizab Persekutuan AS terhadap penurunan kadar yang terlalu awal dengan penggubal dasar mencadangkan lebih banyak bukti diperlukan agar inflasi kekal berada di landasan kukuh menuju ke sasaran 2.0 peratus.

“Kedua, keyakinan ekonomi masih kekal tinggi, dengan hanya beberapa pegawai melahirkan kebimbangan risiko ke atas pertumbuhan sekiranya kadar kekal tinggi; dan masih terdapat ketidakpastian bila penurunan pertama FFR akan dibuat,” katanya.

RHB IB berpandangan minit mesyuarat itu akan mengukuhkan jangkaan pasaran bahawa kadar AS akan kekal tinggi sekurang-kurangnya dalam tempoh separuh pertama 2024.

“Oleh itu, kami mengekalkan kes asas kami bagi hanya dua penurunan FFR pada separuh kedua 2024, yang dijangka hanya dapat dilihat pada September (-25 mata asas) dan Disember (-25bps) 2024.

“Kami berpendapat jangkaan pasaran ketika ini bahawa kadar akan diturunkan sebanyak tiga kali hingga ke penghujung 2024 tidak begitu tepat dan ia dijangka seiring dengan pandangan kami hanya dua kali penurunan pada separuh kedua 2024,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini