comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Indeks Pengeluaran Perindustrian susut 0.5 peratus pada September

Pekerja kilang SKF Bearing Industries (M) Sdn Bhd. -Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia susut 0.5 peratus pada September 2023, dipengaruhi terutama oleh sektor perlombongan, selepas mencatatkan negatif 0.3 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan penurunan itu dipengaruhi terutama oleh kemerosotan 5.2 peratus dalam sektor perlombongan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pembuatan kembali kepada pertumbuhan marginal 0.4 peratus selepas mengalami trend penurunan selama tiga bulan berturut-turut.

 

“Sementara itu, sektor elektrik meningkat 2.5 peratus berbanding 1.9 peratus yang dicatatkan pada Ogos 2023,” katanya dalam kenyataan mengenai IPP Malaysia, September 2023 yang dikeluarkan DOSM pada Selasa.

Beliau berkata bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP menunjukkan pengembangan berterusan dengan pertumbuhan 1.1 peratus selepas mencatatkan 2.8 peratus pada Ogos 2023.

Pengembangan dalam pengeluaran pembuatan didorong terutama oleh prestasi kukuh industri berorientasikan domestik yang berkembang 5.9 peratus pada September 2023, katanya.

Mohd Uzir berkata pengeluaran sektor perlombongan merosot dipengaruhi oleh pengeluaran asli yang kembali kepada jajaran negatif dengan penurunan 7.8 peratus berbanding kenaikan 2.6 peratus pada Ogos 2023.

“Tambahan pula, pengeluaran minyak mentah mentah dan kondensat terus berada dalam trend menurun merekodkan negatif 1.4 peratus pada September 2023 berbanding -3.3 peratus.

Sementara itu, pengeluaran elektrik terus meningkat 2.5 peratus pada September 2023 selepas mencatatkan pertumbuhan 1.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik merosot 4.0 peratus berbanding pertumbuhan positif 0.3 peratus yang direkodkan pada Ogos 2023.

Merumuskan kenyataan mengenai prestasi IPP bagi sembilan bulan pertama 2023, Ketua Perangkawan berkata IPP mengembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 0.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya iaitu 7.7 peratus.

“Peningkatan tersebut disokong oleh indeks pembuatan (1.1 peratus); dan indeks elektrik (turun 1.7 peratus) namun indeks perlombongan menyusut 0.4 peratus, ” katanya. – Bernama

Loading...
Terkini