comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Indeks Pengeluaran Perindustrian terus meningkat pada April

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia terus meningkat sebanyak 6.1 peratus tahun ke tahun pada April 2024, didorong oleh pertumbuhan output sektor pembuatan yang lebih tinggi, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan IPP semakin pesat pada April selepas mencatat 2.4 peratus pada bulan sebelumnya, mengekalkan momentum positif selama empat bulan berturut-turut.

IPI April juga menandakan pertumbuhan tertinggi yang dicatatkan sejak September 2022, disokong oleh pengembangan merentasi semua sektor pada bulan berkenaan.

Pengeluaran sektor pembuatan berkembang sebanyak 4.9 peratus manakala sektor perlombongan merekodkan pertumbuhan kukuh 10.0 peratus dan sektor elektrik kekal stabil pada kadar 7.6 peratus.

“Peningkatan dalam output pembuatan pada April 2024 disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi dalam industri berorientasikan eksport iaitu sebanyak 2.6 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada Mac 2024.

“Kenaikan itu diteraju terutama oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis, dan pembuatan kimia dan produk kimia yang mencatat peningkatan masing-masing sebanyak 5.9 peratus dan 5.0 peratus,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pembuatan perabot juga mengalami lonjakan sebanyak 13.1 peratus pada bulan berkenaan.

“Pengembangan tahun ke tahun ini adalah selari dengan prestasi eksport barangan perkilangan negara yang berkembang 7.1 peratus pada April 2024 dan perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport turun 11.6 peratus berbanding pertumbuhan 11.0 peratus pada Mac 2024,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini