comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Indeks volum perkhidmatan tumbuh 4.4 peratus pada suku ketiga 2023

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Indeks volum perkhidmatan tumbuh 4.4 peratus tahun ke tahun, dengan mencatatkan 146.7 mata pada suku ketiga 2023, didorong oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan meningkat 5.1 peratus dan merekodkan 148.7 mata tahun ke tahun, diikuti segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan (0.2 peratus), segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (6.9 peratus) dan segmen perkhidmatan lain (8.7 peratus).

Beliau berkata, pendorong utama terdiri daripada perdagangan borong dan runcit (5.0 peratus) diikuti makanan dan minuman (2.2 peratus) dan penginapan (17.1 peratus).

“Pada masa yang sama, segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan naik 0.2 peratus berikutan peningkatan dalam profesional, saintifik dan teknikal serta pentadbiran dan khidmat sokongan (9.1 peratus) dan hartanah (8.0 peratus),” katanya.

Tambah Mohd Uzir, segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan meningkat 6.9 peratus dengan mencatatkan 160.3 mata, disumbangkan oleh pertumbuhan maklumat dan komunikasi (3.5 peratus) serta pengangkutan dan penyimpanan (12.6 peratus).

“Pada masa yang sama, segmen perkhidmatan lain mencatatkan indeks volum 119.4 mata dengan pertumbuhan 8.7 peratus hasil peningkatan dalam kesihatan swasta (11.3 peratus), pendidikan swasta (4.1 peratus) serta kesenian, hiburan dan rekreasi dan perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (11.1 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata, indeks volum pelarasan musim mencatatkan pertumbuhan 0.7 peratus berbanding suku tahun kedua 2023, dipacu oleh pertumbuhan dalam segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan (2.8 peratus), segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (1.1 peratus) dan segmen perkhidmatan lain (1.2 peratus).

Bagaimanapun, segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan turun -0.5 peratus. – BERNAMA

Loading...
Terkini