comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Industri gas Malaysia dijangka kekal kukuh, dipacu dasar yang betul

 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Industri gas Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan serta tidak terjejas akibat krisis tenaga global kerana industri itu dipandu oleh dasar yang betul, insentif mesra perniagaan dan kesediaan infrastruktur, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Yatimah Sarjiman.

Beliau berkata kerajaan bersama pihak berkepentingan utama lain, seperti Petroliam Nasional Bhd dan Tenaga Nasional Bhd, sentiasa mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan keterjaminan tenaga berterusan untuk negara.

“Dengan pelbagai sumber dan rangkaian luas infrastruktur penghantaran gas dengan kebolehpercayaan melebihi 99 peratus, gas asli memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi, terutamanya sektor penjanaan kuasa, sekali gus memastikan keselamatan tenaga dan kebolehcapaian untuk negara.

“Industri gas Malaysia telah menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan sosio-ekonomi Malaysia melalui penciptaan peluang pekerjaan yang berkualiti, menyokong pengeluaran ekonomi, meningkatkan perdagangan luar kita dan memupuk industri dan syarikat tempatan menjadi pemain global.

“Industri petroleum dan gas menyumbang lebih daripada RM144 bilion dalan pengeluaran kasar pada 2021,” katanya dalam ucap tama beliau pada Simposium Gas Malaysia (MyGAS 2023) anjuran Persatuan Gas Malaysia (MGA) di sini, hari ini.

Yatimah berkata dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tengara Negara (NETR), gas asli dijangka menjadi bahan api peralihan, merangkumi 56 peratus daripada campuran jumlah bekalan tenaga utama (TPES) menjelang 2050.

Ini diikuti tenaga boleh baharu yang termasuk solar, hidro dan biotenaga, menyumbang 23 peratus daripada TPES pada 2050 daripada hanya empat peratus pada 2023.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam hala tuju peralihan tenaga Malaysia ketika negara bergerak ke arah ekonomi rendah karbon.

Loading...
Terkini