comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Industri penjagaan kesihatan semakin untung pasca COVID-19

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sektor penjagaan kesihatan mendapat manfaat daripada peningkatan lawatan pesakit tempatan dan pesakit asing selepas sekatan berkaitan COVID-19 ditarik balik.

Penganalisis RHB Research, Oong Chun Sung, berkata perkembangan itu dibuktikan apabila sektor berkenaan terus mencatatkan pertumbuhan menggalakkan dalam bilangan pesakit pada suku ketiga 2022, dengan KPJ Healthcare Bhd mencatatkan peningkatan 13.5 peratus, manakala IHH Healhcare Bhd menokok 3.3 peratus.

“Tambahan lagi, kesan limpahan daripada pemerolehan ubat-ubatan dan rawatan dalam sektor awam dan sektor swasta sepatutnya terus memberikan kelebihan kepada syarikat-syarikat farmaseutikal yang berada di bawah liputan kami, iaitu Duopharma Biotech dan Kotra Industries,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Chun Sung berkata, IHH dan KPJ masing-masing terus mencatatkan pemulihan kukuh dalam jumlah pelancong penjagaan kesihatan dengan hasil berkaitannya memulih kepada empat peratus daripada jumlah hasil kumpulan, berbanding lima peratus dan 5.5 peratus sebelum paras pandemik.

Pilihan utama sektor kami sekarang KPJ yang diperkukuh oleh trajektori pertumbuhan pesakit yang teguh, masih belum terjejas oleh isu kekurangan jururawat.

“Malah, ia berpotensi meningkatkan perolehan menerusi pelupusan sebuah entiti miliknya di luar negara menjelang 2023.

“Sungguhpun kami terus optimis akan gambaran pemulihan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, kami juga berpandangan bahawa penekanan padu KPJ terhadap pasaran tempatan memberikanmua kestabilan perolehan yang lebih besar,” katanya.

Prestasi sembilan bulan pertama 2022 direkodkan IHH bagaimanapun tidak mencapai jangkaan apabila terjejas oleh kekangan seperti pelemahan nilai mata wang lira Turki, peningkatan kos operasi (terutamanya di Turki), dan kekurangan kakitangan jururawat di Singapura. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini