comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Industri sawit dijangka kekal memberangsangkan tahun ini

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Industri sawit Malaysia akan meneruskan prestasi memberangsangkan tahun ini disokong oleh permintaan kukuh bagi komoditi itu dan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata eksport minyak sawit dijangka meningkat 3.7 peratus kepada 16.30 juta tan pada 2023 berbanding 15.72 juta tan tahun lalu berikutan jangkaan permintaan minyak sawit yang berterusan daripada negara pengimport.

Beliau berkata, eksport minyak sawit merekodkan 15.72 juta tan pada 2022 meningkat sedikit sebanyak satu peratus berbanding 15.57 juta tan pada tahun sebelumnya disebabkan permintaan yang lebih tinggi, terutamanya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Jepun, Bangladesh dan Mesir.

Katanya, pengeluaran dijangka meningkat tiga peratus kepada 19 juta tan pada 2023 berbanding 18.45 juta tan pada 2022 berikutan jangkaan peningkatan dalam kawasan tanaman matang terutamanya di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Ujarnya, keadaan cuaca yang dijangka lebih baik dan situasi tenaga kerja juga dijangka stabil berikutan permohonan pekerja asing telah diluluskan secara berperingkat.

“Pengeluaran sebanyak 18.45 juta tan pada 2022 adalah 1.9 peratus lebih tinggi berbanding 18.12 juta tan pada 2021 dan ini disebabkan peningkatan buah tandan segar (BTS) yang diproses sebanyak 3.4 peratus berikutan prestasi hasil BTS yang lebih baik sebanyak 0.1 peratus kepada 15.49 tan setiap satu hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangannya bertajuk Prestasi Industri Sawit Malaysia 2022 dan Prospek 2023 pada Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2023 di sini, hari ini.

Ahmad Parveez juga berkata, stok minyak sawit Malaysia dijangka susut 8.7 peratus kepada dua juta tan pada 2023 berbanding 2.19 juta tan tahun lalu berikutan jangkaan peningkatan permintaan eksport, terutamanya dari negara pengimport utama.

Beliau berkata, stok akhir minyak sawit berjumlah 2.19 juta tahun tahun lalu, lebih tinggi sebanyak 35.9 peratus berbanding 1.61 juta tan yang dicatatkan pada Disember 2021.

Katanya, ia berikutan pengeluaran MSM yang lebih tinggi sebanyak 0.34 juta tan atau 1.9 peratus dan stok pembukaan minyak sawit yang lebih tinggi sebanyak 0.35 juta tan atau 27.6 peratus.

Ahmad Parveez berkata, bagi seluruh Malaysia, pendapatan bersih bulanan pekebun kecil persendirian berdasarkan purata pemilikan kebun adalah RM2,634.Katanya, Sabah mencatat RM4,394, Sarawak merekod RM3,189 manakala Semenanjung Malaysia pula adalah RM2,150. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini