comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Inflasi di Asean dijangka sederhana lebih cepat berbandingnegara maju – Ahli Ekonomi 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Meskipun inflasi berbeza dalam kalangan negara di rantau Asean, ia dijangka sederhana dan bertambah baik dengan lebih cepat daripada negara-negara maju.

Ketua Ekonomi ANZ Bank (Asia Tenggara dan India) Sanjay Mathur berkata inflasi di rantau ini dilihat berikutan kejutan harga komoditi, dan bukan disebabkan kekurangan tenaga kerja yang agak kritikal di negara-negara maju.

Bagi langkah-langkah yang diambil oleh negara untuk menangani inflasi, katanya ia tidak dapat ditentukan berikutan sifat inflasi adalah berbeza.

“Langkah-langkah yang diperlukan di Asean adalah berbeza.

Di sini, ia lebih mengenai meningkatkan bekalan makanan, justeru dari segi peruntukan dalam dasar fiskal misalnya, ia boleh dari segi sokongan tunai kepada kumpulan berpendapatan rendah.

“Manakala di Amerika Syarikat, langkah-langkah yang diambil lebih kepada mengekang permintaan, justeru, ia lebih melalui kitaran kadar faedah,” katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Inovasi Kewangan Asean di sini hari ini.

Mengenai langkah pengukuhan monetari di rantau ini, katanya sebahagian besar langkah tersebut telah selesai dengan hanya beberapa negara yang mengunjurkan kenaikan kadar. Ia termasuk Filipina dan Thailand.

“Bagi Malaysia, kami berpendapat Bank Negara Malaysia telah menamatkan kitaran pengukuhannya dan tidak perlu lagi untuk berbuat demikian.

“Inflasi di Malaysia hanya lebih sedikit tiga peratus, yang agak terkawal. Kami berpendapat inflasi dan pertumbuhan akan perlahan yang akan mengurangkan banyak tekanan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya subsidi tidak dinafikan memainkan peranan penting dalam memerangi inflasi di negara ini.

Mengenai langkah kepada subsidi bersasar seperti yang dirancang oleh kerajaan, katanya ia sudah tentu akan menaikkan harga.

“Bagaimanapun, itu akan menjadi langkah sekali sahaja dan melainkan harga minyak naik semula. Saya fikir kita akan selesai pada tahap yang tinggi dan kemudian, ia akan turun semula pada tahun depan,” katanya.

Mengulas mengenai langkah-langkah pandemik oleh Malaysia, beliau menyambut baik skim subsidi pendapatan oleh kerajaan selain sokongan kepada sektor korporat tetapi untuk jangka panjang, penyatuan fiskal perlu terus diperkukuh, katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini