comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Inflasi di peringkat pengeluar naik 1.4 peratus bulan lalu

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, meningkat 1.4 peratus pada Mei 2024 berbanding 1.9 peratus pada bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sama seperti bulan sebelumnya, semua sektor mencatatkan peningkatan pada Mei 2024.

Beliau berkata, sektor perlombongan terus meningkat 6.6 peratus daripada peningkatan dua angka 10 peratus pada bulan sebelumnya, disumbangkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (7.2 peratus) dan pengekstrakan gas asli (4.6 peratus).

Katanya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat perlahan 1.3 peratus, dengan indeks pengeluaran ternakan dan penanaman tanaman masing-masing kekal meningkat sebanyak 3.7 peratus dan 3.1 peratus.

“Pada masa yang sama, sektor pembuatan meningkat 1.0 peratus disumbangkan oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (9.6 peratus).

“Bagi sektor utiliti, indeks bekalan air naik 8.7 peratus, manakala indeks bekalan elektrik & gas meningkat 1.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan turun -0.9 peratus daripada peningkatan 0.5 peratus yang dicatatkan pada April 2024.

Katanya, sektor utama mengalami penurunan dan telah menyebabkan kemerosotan indeks keseluruhan pada bulan ini.

“Sektor perlombongan menurun -5.5 peratus disebabkan oleh indeks Pengekstrakan petroleum mentah (-6.8 peratus) dan pengekstrakan gas asli (-1.7 peratus).

“Sektor pertanian, perhutanan & perikanan menurun -4.6 peratus daripada peningkatan 0.7 peratus pada bulan sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (-7.8 peratus).

“Begitu juga, sektor pembuatan turun perlahan negatif 0.1 peratus disebabkan oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-2.5 peratus). Sementara itu, indeks bekalan elektrik & gas dan bekalan air kekal positif dengan masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 1.1 peratus dan 1.4 peratus,” katanya.

Perbandingan dengan negara lain menunjukkan bahawa IHPR di Amerika Syarikat (AS) meningkat 2.2 peratus bulan ini berbanding 2.3 peratus pada April 2024.

IHPR Jepun terus meningkat 2.4 peratus, daripada peningkatan 1.1 peratus pada April 2024, dengan kenaikan berterusan kos kebanyakan komponen, seperti logam bukan ferus, besi buruk & sisa serta produk petroleum & arang batu.

Sementara itu, harga pengeluar China mencatatkan penurunan lebih perlahan 1.4 peratus berbanding kejatuhan 2.5 peratus pada bulan sebelumnya.

Ini adalah penguncupan harga di pintu kilang bagi bulan ke-20 berturut-turut yang disebabkan oleh perlombongan dan pemprosesan, tetapi penurunan terkecil sejak Februari 2023 dengan pelbagai langkah sokongan daripada kerajaan.

Mengenai harga komoditi tempatan, Mohd Uzir berkata purata harga minyak sawit mentah (MSM) pada Mei 2024 ialah RM3,902.50 setiap tan, meningkat 2.8 peratus daripada Mei 2023, tetapi susut 8.3 peratus berbanding harga April 2024.

Beliau berkata, menurut penyelidikan MIDF, momentum harga reda lebih awal daripada jangkaan, kembali kepada harga Februari 2024 apabila risiko cuaca panas dan kering telah berkurangan.

“Dalam masa yang sama, pengeluaran minyak bijirin global pada tahun 2024/25 diunjurkan meningkat kepada 687 juta tan, meningkat 4.0 peratus, manakala pengeluaran kacang soya ialah 422 juta tan, peningkatan sebanyak 6.0 peratus pada asas tahunan.

“Ini akan mendorong harga minyak sayuran dan minyak kacang soya lain ke arah aliran menurun, termasuk risiko pengurangan bekalan. MIDF turut mengunjurkan bahawa harga MSM akan berada pada RM3,600 setiap tan sepanjang 2024, lebih rendah daripada ramalan yang berlegar sekitar RM3,900 hingga RM4,200,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini