comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Inflasi kekal rendah 1.8 peratus pada April – DOSM

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kadar inflasi keseluruhan Malaysia yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal rendah sebanyak 1.8 peratus pada April 2024, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia juga adalah kadar yang sama sejak Februari 2024 dengan mata indeks mencatatkan 132.4 berbanding 130.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kadar inflasi negara itu juga adalah lebih rendah berbanding inflasi di negara lain seperti Vietnam (4.4 peratus), Filipina (3.8 peratus), Amerika Syarikat (3.4 peratus), Indonesia (3.0 peratus) dan Korea Selatan (2.9 peratus).

Beliau berkata, kadar inflasi pada April 2024 telah didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran & perkhidmatan penginapan (3.5 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (3.1 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain pada 3.0 peratus.

Makanan & minuman dan pengangkutan pula katanya masing-masing mencatatkan peningkatan 2.0 peratus dan 0.8 peratus.

“Inflasi Restoran & Perkhidmatan Penginapan meningkat kepada 3.5 peratus pada April 2024 berbanding 3.0 peratus pada Mac 2024.

“Ini disumbangkan oleh peningkatan subkumpulan utama Perkhidmatan penyediaan minuman, 3.9 peratus (Mac 2024: 3.7 peratus) dan Perkhidmatan penginapan pada 2.4 peratus (Mac 2024: 0.6 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini