comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada 2.0 hingga 3.5 peratus tahun ini – BNM 

Abdul Rasheed berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2024 disokong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan permintaan luaran yang bertambah baik.

Oleh: Nurin Farhana Rishdy 

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) meramalkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras akan kekal pada kadar sederhana sepanjang tahun ini, masing-masing antara 2.0 hingga 3.5 peratus dan 2.0 hingga 3.0 peratus pada 2024.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ramalan ini menandakan kestabilan permintaan yang semakin stabil, tekanan kos yang terkawal serta jangkaan peningkatan inflasi akibat rasionalisasi subsidi bahan api.

“Prospek sepanjang tahun ini bergantung kepada pelaksanaan dasar domestik berhubung subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan,” katanya ketika mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2024 di sini hari ini.

Tambahnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia disokong oleh perbelanjaan domestik, ​​​​​​​pemulihan permintaan luaran, serta pertumbuhan gaji yang berterusan.

Abdul Rasheed menegaskan bahawa pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan akan menyokong perbelanjaan isi rumah.

Manakala, aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan dalam projek infrastruktur daripada projek-projek sektor awam dan swasta, selain pelaksanaan inisiatif yang diumumkan dalam pelan induk nasional.

Selain itu, Bank Negara optimis terhadap limpahan peningkatan dalam teknologi, aktiviti pelancongan yang memberangsangkan dan pelaksanaan projek pelaburan yang lebih cepat meskipun cenderung terhadap risiko permintaan global yang lemah, ketegangan geopolitik, dan potensi penurunan dalam pengeluaran komoditi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini