comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Inflasi Malaysia turun kepada 4.0 peratus pada Oktober 2022

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia pada Oktober 2022 turun kepada 4.0 peratus berbanding dengan 4.5 peratus yang direkodkan pada September 2022. menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagaimanapun, kadar ini masih lagi melepasi purata inflasi negara bagi tempoh Januari 2011 hingga Oktober 2022 iaitu pada 2.0 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Oktober 2022 meningkat 4.0 peratus kepada 128.6 berbanding 123.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia pada Oktober 2022 adalah lebih rendah berbanding inflasi di Filipina (7.7 peratus), Thailand (6.0 peratus), Indonesia (5.7 peratus) dan Korea Selatan (5.7 peratus).

“Kadar inflasi Zon Euro terus memecah rekod tertinggi semenjak ia ditubuhkan dan melonjak kepada 10.7 peratus pada Oktober 2022 daripada 9.9 peratus pada bulan sebelumnya.

“Ini didorong oleh inflasi tenaga (41.9 peratus); makanan, alkohol dan tembakau (13.1 peratus); barangan perindustrian bukan tenaga (6.0 peratus) dan perkhidmatan (4.4 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata kadar inflasi di Amerika Syarikat reda kepada 7.7 peratus pada Oktober 2022 berbanding September 2022 (8.2 peratus).

Mohd Uzir berkata bagi peringkat domestik, peningkatan menyederhana inflasi Oktober 2022 telah didorong oleh peningkatan perlahan kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang telah berkurangan kepada 1.5 peratus berbanding 4.0 peratus pada September 2022.

“Peningkatan perlahan ini disumbangkan oleh ketiadaan pengaruh kesan asas susulan penamatan diskaun elektrik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bermula Julai hingga September 2021,” katanya.

Bagaimanapun, inflasi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol terus menunjukkan peningkatan sebanyak 7.1 peratus berbanding 6.8 peratus yang dicatatkan pada September 2022.

“Terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan yang lebih perlahan berbanding September 2022.

Antaranya ialah subkumpulan sayur-sayuran meningkat 4.8 peratus berbanding 6.3 peratus manakala minyak dan lemak meningkat 2.6 peratus berbanding 3.8 peratus pada September 2022,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini