
KUALA LUMPUR: Inisiatif yang diumumkan kerajaan setakat ini adalah memberangsangkan dengan pelbagai rancangan jangka panjang seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NTER) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) yang menerangkan langkah serta sasaran yang tepat untuk meningkatkan daya saing dan taraf hidup di Malaysia.
Penganalisis TA Securities, Kaladher Govindan, berkata pelancaran NIMP 2030 menjadi faktor utama kepada prestasi kukuh indeks penanda aras pasaran saham tempatan FBM KLCI apabila naik 11.49 mata untuk ditutup pada paras tertinggi 1,463.43 mata Jumaat lalu.
“NIMP menyasarkan untuk mengubah sektor perindustrian menjelang 2030 dengan anggaran pelaburan sebanyak RM95 bilion dan meningkatkan median gaji bulanan dalam sektor pembuatan kepada RM4,510 daripada RM1,976.”Langkah-langkah yang diambil untuk mencapai sasaran jangka panjang ini akan memanfaatkan pelbagai sektor ekonomi dan menjadi petanda baik bagi korporat Malaysia yang boleh merebut pelbagai peluang yang dicipta oleh peningkatan pelaburan dan penggunaan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Kaladher berkata, perkembangan ini adalah penting memandangkan pendapatan korporat syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia gagal mengujakan banyak pihak.
“Dalam musim laporan keputusan suku kedua yang berakhir baru-baru ini, teras pendapatan 107 saham di bawah pemantauan kami menguncup sebanyak 3.6 peratus tahun ke tahunberbanding kenaikan 0.5 peratus pada suku pertama 2023, disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah, kos operasi yang lebih tinggi dan harga jualan purata yang lebih rendah.
“Komoditi dan eksport sektor berkaitan seperti perladangan, minyak & gas, sarung tangan dan teknologi berprestasi rendah tetapi disokong oleh prestasi yang lebih baik daripada bank, pengangkutan, kuasa & utiliti dan sektor perjudian.
“Bagaimanapun, pendapatan untuk tahun kalendar 2023 dan 2024 bagi saham ini telah dikurangkan masing-masing sebanyak 4.8 peratus dan 0.2 peratus, iaitu diturun taraf untuk suku keenam berturut-turut,” katanya.
Kaladher menambah, memandangkan kebangkitan dalam ekonomi global adalah penting untuk meningkatkan permintaan untuk eksport dan harga komoditi yang lebih kukuh, perkembangan di Amerika Syarikat (AS) dan China akan diperhatikan dengan teliti disebabkan oleh pengaruh besar mereka terhadap perdagangan global.