Tumpuan :
Detik Niaga

Institusi tempatan beli bersih RM1 bilion saham minggu lalu

KUALA LUMPUR: Institusi tempatan terus menjadi penyokong utama Bursa Malaysia, dengan belian bersih melonjak hampir lima kali ganda kepada RM1.06 bilion minggu lalu daripada RM207.7 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Dalam laporan aliran dana pada minggu berakhir 6 Disember, MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) berkata, tiada aliran keluar direkodkan pada sepanjang minggu daripada kelas pelabur ini minggu lalu.

Menurutnya, Isnin dan Selasa menyaksikan aliran masuk tertinggi iaitu masing-masing pada RM245.6 juta dan RM284.1 juta.

Minat institusi tempatan tertumpu kepada Tenaga Nasional, Maybank, CIMB, AMMB dan RHB Bank, yang merupakan saham utama yang mencatat aliran masuk bersih mingguan pada minggu lalu.

Sementara itu, pelabur asing dan peruncit tempatan kekal sebagai penjual bersih.

Pelabur asing terus menjadi penjual di Bursa Malaysia untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan aliran keluar berjumlah RM761.4 juta, menjadikan aliran keluar minggu tunggal kedua tertinggi dalam tempoh lima minggu lalu.

“Setiap hari dagangan mengalami aliran keluar bersih asing, dengan aliran keluar terbesar pada Isnin sebanyak RM248.8 juta, diikuti Selasa pada RM218.6 juta, Jumaat pada RM143.9 juta, Khamis pada RM121.6 juta dan Rabu pada RM28.5 juta,” katanya.

Tiga sektor utama yang mencatatkan aktiviti jualan bersih oleh pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan (RM594.1 juta), utiliti (RM475.9 juta), dan pengangkutan dan logistik (RM53.8 juta).

Tiga sektor utama yang mencatatkan aktiviti belian bersih oleh pelabur asing pula ialah penjagaan kesihatan (RM238 juta), perladangan (RM93.1 juta), dan produk dan perkhidmatan perindustrian (RM72.8 juta).

Sementara itu, peruncit tempatan menyaksikan aliran keluar bersih berjumlah RM299.9 juta minggu lalu, hampir 30 kali ganda berbanding minggu sebelumnya.

“Setiap hari menyaksikan aliran keluar daripada kumpulan pelabur ini, kecuali Isnin, yang mencatatkan aliran masuk RM3.2 juta,” katanya sambil memaklumkan aliran keluar terbesar dicatatkan pada Rabu, berjumlah RM125.7 juta.

Secara keseluruhan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) Bursa Malaysia merosot dalam semua kategori pelabur kecuali pelabur runcit tempatan, yang menyaksikan peningkatan 8.9 peratus.

Pelabur institusi asing dan tempatan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 25.7 peratus dan 6.6 peratus.

MIDF berkata, buat kali pertama dalam tempoh 10 minggu, warga asing membeli bersih ekuiti Asia membabitkan lapan pasaran yang dipantau, menghasilkan jumlah aliran masuk AS$5.16 bilion.

Semua negara, kecuali India, Taiwan dan Indonesia mencatatkan aliran keluar bersih.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini